13 Tempat Menarik Di Perak Yang Harus Anda Lawati | Negeri Perak merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Pahang, dan keempat di Malaysia. Perak punyai sungai terpanjang di negeri iaitu Sungai Perak. Dianggarkan sekitar 1,658 batang sungai dan 52 buah pulau di seluruh negeri Perak.
Sudah masuk bulan Disember, maknanya cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi. Mencari tempat menarik di Perak? Nah anda berada pada artikel yang betul. Jom lihat senarai ini. Ada banyak lagi tempat menarik di Perak untuk dilawati bersama anak – anak semasa cuti sekolah.
Berikut adalah lokasi tempat menarik di Perak yang terpilih:
1. Lost World of Tambun
Taman tema air terkenal yang berada di Perak adalah Lost World of Tambun. Terdapat 10 taman dengan 88 tarikan atau aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Sesuai jika anda membawa seisi keluarga bercuti di sini kerana terdapat permainan yang sesuai dengan semua peringkat umur.
2. Gua Tempurung
Mungkin tidak ramai yang membawa anak mereka ke tempat seperti ini semasa cuti. Namun, jika mahu anak anda merasai kelainan, cuba bawa mereka memasuki Gua Tempurung bersama jurupandu bertauliah mereka. Ianya pasti akan menarik minat mereka!
3. Concubine Lane
Concubine Lane juga tempat yang sesuai jika anda mencari banyak makanan unik dan tempat untuk bergambar. Bangunan yang didekorasi dengan variasi jenis mural pasti mengagumkan tiap mata memandang. Kedai – kedai di sini hanya dibuka pada belah siang sahaja.
4. Hutan Lipur Lata Tebing Tinggi
Mandi di air terjun. Itulah tarikan yang ada di Daerah Selama. Malah, ada 5 air terjun di situ dan Lata Tebing Tingginya juga salah satu darinya yang menjadi tumpuan orang dalam dan luar negara. Homestay juga ditawarkan bagi pengunjung yang merangkumi pakej lawatan ke lokasi pelancongan yang lain di sekitarnya.
5. Kellie’s Castle

Kelly’s Castle adalah salah satu tempat bersejarah di Perak. Ada yang ingin belajar mengenai sejarah, ada juga yang ingin mengambil foto semata. Seringkali menjadi tempat untuk melakukan pengambaran, kecantikan dan keunikan struktur luaran dan dalaman tempat ini memang tidak dinafikan lagi.
6. Bukit Merah Laketown Resort
Selain Lost World of Tambun, Bukit Merah Laketown Resort juga terkenal yang menjadi tempat persinggahan dan rekreasi untuk seisi keluarga. Ianya adalah sebuah taman tema yang terbahagi kepada empat zon iaitu taman tema air, taman eko, taman rekreasi dan taman pengembaraan.
7. Zoo Taiping & Night Safari
Uniknya zoo ini ialah kerana ia turut menyediakan pengalaman Night Safari. Ia adalah yang pertama di Malaysia. Anak – anak dapat melihat haiwan yang aktif pada waktu malam dan mendengar bunyi haiwan – haiwan ini. Merupakan tempat menarik di Perak patut dalam senarai.
8. Pulau Pangkor
Pulau Pangkor adalah pulau percutian terkenal di antara rakyat Malaysia dan juga luar negara. Walaupun di pulau ini punyai banyak hotel, chalet, dan resort, namun ia sering dipenuhi orang ramai lagi – lagi semasa cuti umum. Jika tidak menempah lebih awal, mungkin anda tidak dapat bercuti di sini.
9. Hutan Lipur Lata Iskandar
Air terjun di sini terletak di antara Tapah dan Cameron Highlands, jadi ia sering menjadi tumpuan ramai terutamanya semasa hujung minggu. Air terjun yang memang cantik dan jernih. Bukan sahaja boleh berkelah dan mandi – manda di sini, anda juga boleh merehatkan minda sambil hirup udara segar.
10. Sungai Klah Hot Spring
Mata air panas denan kos pembinaan RM6 juta ini dikatakan yang terbaik di Malaysia dari segi pengurusannya. Suasananya yang dikelilingi pepohon hijau, bukit, dan sungai amat memukau orang ramai. Jadi, mata air panas di Malaysia memang sering dikunjungi ramai, seperti yang ada di Sungai Klah ini.
11. Masjid Ubudiah
Masjid ini dibina atas rasa syukur Sultan Idris Murshidul adzam Shah kepada tuhan selepas baginda sembuh dari penyakitnya. Ia disebut – sebut sebagai antara masjid terindah di Malaysia. Kubahnya yang berwarna emas dengan mudah menarik minat mereka yang lalu – lalang.
12. Menara Condong Teluk Intan
Pada masa kini, Menara Condong Teluk Intan menjadi lokasi orang ramai untuk membuat aktiviti sama ada rasmi atau tidak rasmi. Walaupun ia tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air, tapi jamnya masih berfungsi dengan baik hingga kini. Ia menjadi condong kerana struktur tanah yang lembut dan kesan dari bebanan tangki yang menakung air.
13. Teluk Batik
Perak punyai banyak tarikan pelancongan yang menarik salah satunya Teluk Batik. Ianya terkenal dengan pantai yang cantik yang sesuai untuk aktiviti seperti bermandi – manda dan berkelah. Bukan itu sahaja, ada beberapa tempat penginapan di sini iaitu Teluk Batik Resort.
Banyak lagi tempat menarik di Perak yang boleh anda terokai. Sepanjang pulang ke kampung itu, jangan lupa untuk singgah di tempat – tempat ini. Banyak perkara menarik yang akan menarik minat anda. Semoga senarai ini membantu anda untuk rancang percutian anda. Selain itu, banyak info menarik juga yang anda boleh lihat di sini.