1,669 peralatan perjudian, pelacuran Dilupuskan Polis | Pihak polis telah melupuskan 1,669 peralatan perjudian dan pelacuran yang dirampas menerusi 74 serbuan di daerah Dang Wangi bagi tempoh antara 2019 hingga Mei lalu, hari ini.

1,669 peralatan perjudian, pelacuran Dilupuskan Polis

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan itu membabitkan 61 kes perjudian dan 13 kes pelacuran.

Katanya, kesemua peralatan yang dirampas untuk kedua-dua kes berkenaan dianggarkan bernilai RM900,000.

Jelasnya, hasil dari serbuan itu juga, sebanyak 61 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala 13 lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 373B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua kertas siasatan itu sudah selesai dan pihaknya membuat permohonan di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta, di sini, pada 28 Mei lalu bagi melupuskan semua barang kes berkenaan.

Tambahnya, pihak mahkamah telah meluluskan ntuk melupuskan barang kes berkenaan yang membabitkan 74 kertas siasatan yang dilakukan di Pejabat Pengurusan Barang Kes dan Stor Bekalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Sementara itu, pihak polis juga meminta kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian dan pelacuran di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply