Kota Bharu: Tindakan ibu dan anak menjual nasi bungkus kepada individu tidak berpuasa membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dalam operasi di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Ibu berusia 50-an dan anak lelakinya berumur 20-an ditahan pada 9 pagi ketika mereka sedang melakukan urus niaga dengan dua pelanggan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, dua beranak itu menjual nasi bungkus secara bergerak dengan menggunakan Perodua Myvi yang dipandu oleh anaknya.

Katanya, operasi JAHEAIK bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) hasil maklumat orang awam dan intipan pihaknya selama seminggu.

“Ketika operasi, dua beranak itu sedang menjual nasi bungkus kepada dua lelaki berusia 40-an yang juga pemandu lori. Hasil pemeriksaan menemukan puluhan nasi bungkus berlauk ayam dan ikan yang diletakkan dalam kereta untuk dijual kepada pelanggan.

“Kita menahan mereka kerana menjual nasi bungkus kepada individu tidak berpuasa pada waktu yang tidak dibenarkan. Hasil siasatan mendapati, dua beranak terbabit adalah peniaga nasi dikenali di kawasan itu yang mula beroperasi pada awal Ramadan.

“Dua beranak itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual dan membekal makanan kepada orang Islam di siang hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua pelanggan pula mereka disiasat mengikut Seksyen 54 enakmen sama kerana bersubahat tidak menghormati Ramadan.

Mohd Fadzuli berkata, mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 enakmen sama kerana melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di tempat awam yang boleh didenda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

Katanya, keempat-empat yang ditahan dibebaskan dengan bon jamin dan mereka diminta hadir ke Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

Sumber: Harian Metro

Baca Juga: ‘Kaki Ponteng Puasa’ Lari Lintang-Pukang Slps Nampak Van Putih

KEGIATAN ponteng puasa oleh beberapa individu terbantut selepas pihak berkuasa menemui tempat sarang mereka melakukan aktiviti tersebut yang terletak berhampiran chalet terbengkalai di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.

Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub berkata, kumpulan tersebut bertempiaran lari sebaik melihat kehadiran van putih milik pihaknya dalam operasi Ops Ramadan pada Selasa.

Kerana bimbang ditahan, kesemua individu terbabit juga tidak sempat untuk membawa barangan mereka yang ditinggalkan di pondok rehat di kawasan tersebut.

Ahmad Muzzamil berkata, antara yang ditemui ketika pemeriksaan adalah beberapa botol minuman berisi air ketum.

“Ketika pemantauan dilakukan, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.

Operasi yang dilakukan oleh Pejabat Agama Daerah Padang Terap itu melibatkan lapan anggota yang diketuai oleh Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin.

Dalam pada itu, Ahmad Muzzamil memaklumkan, terdapat taktik lain turut dikesan pihaknya yang digunakan golongan kaki ponteng puasa di kawasan tersebut.

Menurut, cara licik itu dibuat dengan cara meletakkan makanan yang dibuat oleh peniaga Islam di kedai bukan Islam termasuk kedai runcit.

Beliau memberi amaran kepada individu terlibat supaya berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut kerana ia dikhuatiri mencemarkan imej Islam.

Katanya, tindakan boleh diambil kepada individu yang makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh membuat aduan berkenaan aktiviti tersebut memlalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut.

Sumber: Majoriti

Share.

Leave A Reply