2 Lelaki Yg Didakwa Buat Perlakuan Sumbang Adalah Adik Beradik. | Kuala Langat: Dua lelaki yang didakwa membuat perlakuan sumbang dalam sebuah surau di Banting yang tular baru-baru ini adalah adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kedua beradik berusia 21 dan 14 tahun itu tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

“Kedua individu berkenaan datang ke Banting bersama ibu bapa serta seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting.

“Kira-kira jam 4.30 petang, pada Selasa lalu, keluarga berkenaan singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

“Selepas selesai solat, kedua adik-beradik itu bergurau di dalam surau tanpa disedari perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan kedua ibu bapa mereka, dua beradik itu mempunyai hubungan yang rapat dan selalu bergurau.

Katanya, dalam kejadian itu, abang bergurau dengan adiknya serta membetulkan seluar dan tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau terbabit.

“Keterangan kedua pelaku dan ibu bapa mereka sudah diambil dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis daerah Kuala Langat menerima laporan daripada pihak surau berhubung kejadian itu.

Ia susulan video berdurasi satu minit 49 saat yang dimuatnaik di media sosial memaparkan dua lelaki tempatan membuat perkara yang tidak senonoh dalam surau.

Polis menerima laporan pada jam 9.07 malam Rabu lalu daripada seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun iaitu bilal surau mengatakan melihat rakaman CCTV mengenai dua lelaki melakukan aksi terbabit.

Sumber ; HM

 

 

ARTIKEL BERKENAAN

Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah surau di daerah ini iaitu Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu telah diterima pihaknya kira-kira jam 9.07 malam pada Rabu.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh bilal berusia 54 tahun itu, dia menyatakan telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua orang lelaki tempatan telah melakukan aksi tidak senonoh.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pelaku dalam rakaman CCTV terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun jika sabit salah.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaku di dalam kes ini diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Norhidayah Mohd di talian 017-4055363 atau 03-31872222 bagi membantu siasatan.

Susulan itu , pada hari Rabu kemarin, tular di media sosial satu rakaman CCTV berdurasi satu minit 49 saat tindakan melampau dua lelaki berkelakuan sumbang di dalam sebuah surau.

Berdasarkan rakaman itu, salah seorang daripada lelaki itu dilihat meraba rakan lelakinya dan mencium.

Rakaman CCTV dari akaun @InfoKuala yang tular memaparkan perbuatan tidak senonoh dua lelaki di dalam sebuah surau di sekitar Kuala Langat baru-baru ini.

Share.

Leave A Reply