Keseronokan menikmati persembahan muzik di sebuah festival muzik di Jakarta, Indonesia terjejas dengan insiden penonton yang terlalu sesak dan berhimpit hingga ada puluhan daripada mereka pengsan serta memerlukan rawatan kecemasan.

Puluhan penonton pengsan terhimpit, khalayak festival muzik di Jakarta lebihi kapasiti

Itu yang terjadi dalam acara Festival Berdendang Bergoyang yang dilangsungkan di Istora Senayan, pada Sabtu.

Media tempatan melaporkan, insiden itu terjadi kerana dipercayai penonton dan pengunjung yang dilepaskan masuk ke festival itu melebihi kapasiti.

“Di kawasan acara terlalu ramai, sudah banyak yang pengsan tadi. Mangsanya mencapai puluhan orang,” ujar Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Komarudin seperti yang dilapor portal Detikcom.

Tambah Komarudin, beberapa penonton juga mengalami kecederaan ringan termasuk luka melecet akibat bersesakan.

“Festival Berdendang Bergoyang yang dianjurkan di Istora ini terpaksa kami hentikan kerana situasi khalayak yang melebihi kapasiti dan berbahaya,” katanya yang mengarahkan festival itu menutup acara pada jam 10 malam, lebih awal dari yang dijadualkan.

Menurut seorang warga Malaysia yang enggan namanya dikenali, dia menyedari sesuatu yang buruk bakal terjadi pada festival berkenaan sejak menghadirinya pada hari Jumaat.

Dia yang datang untuk menyaksikan persembahan pilihannya, iaitu penyanyi Tulus, mengakui keadaan di tapak persembahan agak sesak, kerana dipercayai pihak penganjur menjual tiket melebihi kapasiti kawasan pengunjung.

Laluan keluar dan masuk ke tapak acara dilihat tidak diuruskan dengan baik oleh pihak penganjur. - Sumber Astro AWANI

“Persembahan Tulus di pentas paling besar di kawasan terbuka. Masa nak masuk tu sudah berlaku aksi tolak-menolak. Nak keluar selepas itu pun agak susah,” ujarnya yang sedaya upaya mencari jalan keluar selepas Tulus membuat persembahan.

Dia melupakan saja niatnya untuk menikmati persembahan artis lain yang turut dijadual beraksi, seperti Melly Goeslaw, Padi dan Yura Yunita.

Apabila ditanya mengenai aspek pemeriksaan di pintu masuk, pengunjung Malaysia yang bertugas dalam dunia penyiaran itu berkata: “Semuanya seperti tidak dirancang dengan baik. Gelang tangan yang diberi kepda penonton sebenarnya tiada barcode atau cip mikro. Pengawal hanya periksa ala kadar, jadi kalau ada penonton yang tipu pun bukannya mereka tahu.”

Lebih mengundang risiko, menurutnya, tiada tanda keluar atau masuk yang sewajarnya di lokasi festival dan ruang penonton.

“Saya lihat tiada laluan yang khusus untuk pergerakan orang masuk dan keluar. Semua satu pintu sahaja. Maka, setiap kali berakhir satu-satu persembahan, penonton terpaksa bersesakan untuk bergerak dari satu pentas ke pentas yang lain.

“Di situ, insiden bertiolak-tolakan terjadi hingga boleh membawa kepada aksi merusuh,” jelasnya yang lega dirinya terhindar daripada sebarang masalah.

Dalam perkembangan terkini, perjalanan konsert untuk hari ketiga (Ahad, 30 Oktober) hari ini dibatalkan oleh pihak polis. Notis pembatalan itu telah diumumkan pihak penganjur acara melalui Instagram.

Langkah itu diambil atas sebab-sebab keselamatan.

“Keputusan membatalkan acara ini kami terima secara langsung dari pihak yang berwajib. Kami juga berterima kasih kepada para penonton yang sudah menonton di hari pertama dan kedua,” kata penganjur yang juga akan mengumumkan soal pengembalian wang tiket pada sebelah petang hari ini.
Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply