21 Individu Ditahan Polis Ketika Sedang Leka Berjudi | Hampir setiap hari masyarakat disajikan dengan berita tentang serbuan pihak polis ke atas pusat-pusat perjudian. Hal ini sangat membimbangkan kerana melalui permainan judi ini akan timbulnya pelbagai implikasi serta kesan buruk terhadap negara dan masyarakat sekeliling.
Georgetown: Seramai 21 individu ditahan pihak polis ketika mereka sedang leka berjudi di sebuah rumah kedai di Gat Lebuh Macallum di sini, semalam.
Serbuan terhadap 19 lelaki dan dua wanita warga tempatan itu dilakukan sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, aktiviti itu telah membabitkan pertaruhan wang tunai sebanyak RM4,000.
Sementara itu, menurutnya, kesemua yang ditahan dalam serbuan berkenaan berusia antara 30 hingga 64 tahun dan seramai 20 daripadanya didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Pemilik premis dikenakan kompaun berjumlah RM20,000 atas kesalahan mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Nombor 3) 2021 kerana berhimpun di dalam premis di kawasan jangkitan.
“Individu lain dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Soffian berkata, kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 terhadap lelaki berusia 54 tahun yang disyaki menganjur aktiviti perjudian itu.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 berikutan disyaki bermain judi di dalam bangunan.
“Kesemua individu itu direman selama dua hari sehingga esok.
“Polis bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah melaksanakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis berkenaan pada 10 pagi hari ini mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 Pindaan 2001),” katanya.
Sumber: Harian Metro