Sekurang-kurangnya 21 remaja dilaporkan maut di Cape Town, Afrika Selatan, pada hujung minggu selepas keluar malam di sebuah kedai minuman keras.
Menerusi laporan media antarabangsa, punca kematian kumpulan remaja ini masih belum dapat dikenal pasti.
Pegawai tempatan serta ahli politik meluahkan rasa bimbang jika kematian tersebut ada kaitan dengan pengambilan minuman keras.
Lapan remaja perempuan dan 13 lelaki telah ditemui meninggal dunia di kedai minuman itu.
Menurut kerajaan wilayah Eastern Cape, kejadian berlaku di kawasan perumahan yang dipanggil Scenery Park.
Difahamkan 17 remaja ditemukan meninggal dunia di tempat kejadian dan selebihnya di hospital.
Pegawai Keselamatan Kerajaan, Unathi Binqose, berkata, botol alkohol kosong, rambut palsu serta selempang dengan tulisan ‘Selamat Hari Lahir’ berwarna ungu pastel ditemui berselerak di jalan berdebu di luar Enyobeni Tavern.
Kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar yang meraikan tamat peperiksaan sekolah menengah mereka pada malam Sabtu.
Tiada kesan luka yang kelihatan pada mayat, tetapi bedah siasat akan menentukan sama ada kematian itu boleh dikaitkan dengan keracunan.
Dalam pada itu, Presiden, Cyril Ramaphosa turut menzahirkan ucapan takziah terhadap kejadian tersebut.
Beliau turut menyuarakan rasa bimbang mengenai golongan muda yang berkumpul di tempat larangan untuk individu berusia di bawah umur 18 tahun.
Katanya, kejadian itu mengerikan di mana mereka masih sangat muda.
Apabila diberitahu mereka berusia 13 tahun, 14 tahun dan melihat mereka, beliau berasa agak sebak sekali.
Sumber: Oh Bulan