3 Lelaki Rompak Stesen Minyak Guna Pistol Mainan | Tiga lelaki ditahan selepas disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kodiang, pada awal pagi Ahad.
Superintendan Rodzi Abu Hassan, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu berkata, sebaik pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.15 pagi, operasi khas mengesan suspek dilakukan sekitar daerah itu.
Dua suspek masuk ke dalam stesen minyak terbabit dan meluru ke arah jurupam lalu mengacukan senjata dipercayai pistol mainan.
Beliau berkata bahawa jurupam berusia lingkungan 20-an itu dalam ketakutan mengikut arahan suspek supaya menyerahkan wang.
Superintendan Rodzi kata ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, selepas berjaya mengambil wang berjumlah RM2,700, suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta.
Rodzi berkata, selepas berjaya mengesan keberadaan suspek, polis berjaya menahan ketiga-tiga mereka di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang hari yang sama.
Beliau bertambah lagi bahawa polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian dipakai suspek untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Menurut Rodzi, hasil semakan polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.
Polis, tambahnya, sedang mengesan seorang lagi suspek bersenjata yang masih bebas dipercayai dalang kejadian rompakan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.
Sumber: Astro Awani
Artikel Lain
2 Lelaki Bersenjata Parang Rompak Klinik Gigi
Seorang doktor gigi wanita dan tiga pembantunya melalui detik lima minit paling mencemaskan dalam hidup mereka apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah klinik di Bandar Seri Putra, Bangi di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.48 tengah hari itu berlaku apabila pekerja klinik tersebut membenarkan penyamun berkenaan masuk selepas suspek menyamar sebagai penghantar barang.
Lebih mencemaskan, ketika rompakan berlaku, tiga pesakit dan dua kanak-kanak yang berada di ruang menunggu turut trauma dengan kejadian tersebut.
Doktor yang hanya dikenali sebagai Kim Atikah berkongsi pengalaman menakutkan itu melalui akaun TikToknya yang tular sejak Selasa.
“Kes rompak di tempat kerja kami hari ini di Klinik Dental Republik Bandar Seri Putra. Video in order of how the robbery happened today.
“Dua lelaki Melayu, bersenjata parang. Kejadian berlaku pada 7 November 2022, sekitar pukul 12.43 hingga 12.53 tengah hari Isnin. Jika orang awam ada sebarang maklumat, boleh laporkan ke Balai Polis Bangi atau balai polis berdekatan.
“Kami bersyukur, semua selamat. Itu yang paling utama. Video ini bertujuan untuk bagi kesedaran yang perkara tak diduga nak jadi dan boleh jadi di mana-mana. Apa pun, stay safe and take care everyone. Moga ALLAH lindungi kita semua,” tulisnya.
Pada masa sama, penyamun terbabit juga dilihat cuba mencederakan salah seorang mangsa yang berada di klinik berkenaan sebelum beredar dari tempat kejadian.
Difahamkan, wanita itu bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan barangan peribadinya.
Video berdurasi dua minit itu mendapat lebih daripada 10,000 tontonan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengatakan, lelaki yang bersenjatakan parang itu dipercayai warga tempatan.
“Dalam kejadian itu, suspek melarikan sebuah komputer riba jenis Macbook, dua telefon bimbit, wang tunai sekitar RM2,000 dan seutas rantai emas.
“Kesemua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sumber: Majoriti