Biarpun sempit serta tiada kemudahan asas, namun bagi lima sekeluarga ia sudah memadai buat mereka yang terpaksa tinggal dalam dangau di Kampung Pokka, dekat sini sejak hampir setahun lalu.
Keluarga Rosdi Omar, 50, dan isteri Nor Fariza Zainol, 39, bersama tiga anak lelaki berusia lima hingga 15 tahun tinggal di bangsal berlantai serta berdindingkan buluh, kain dan zink yang sudah dianggap ‘mewah’ kerana hanya itu sahaja tempat tinggal yang mereka ada untuk berteduh sejak Januari lalu.
Mereka sekeluarga hidup tanpa mempunyai bilik, yang ada cuma ruang tamu yang juga menjadi tempat meletakkan dapur kayu bagi memasak. Di situ jugalah tempat mereka sekeluarga tidur dengan hanya ditemani lampu bulan ketika malam.
Biarpun pada awalnya agak kekok, mereka mula belajar menerima kehidupan serba daif dan kekurangan di bangsal itu. Tempat tinggal mereka juga tidak mempunya tandas, bekalan air dan juga elektrik.
Nor Fariza berkata, bukan niat dia dan suami mahu tinggal serta menjalani hidup yang serba kekurangan di bangsal kecil berkenaan lebih-lebih lagi bersama anak yang kini makin membesar.
“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di rumah bersama ibu bapa yang terletak kira-kira 500 meter dari bangsal didiami sekarang. Namun, terlalu ramai adik beradik lain yang turut tinggal di situ membuatkan suami kurang selesa.
“Ini kerana suami mendakwa dia agak janggal berikutan rumah berkenaan terlalu ramai wanita membuatkan dia kurang selesa,” katanya yang juga anak sulung daripada lapan adik beradik.
Menurutnya, daripada lapan beradik itu hanya seorang sahaja lelaki. Selebihnya adalah adik perempuan yang turut tinggal di rumah ibu bapa mereka yang mempunyai empat bilik itu.
“Ada antara mereka (adik) sudah berkahwin namun menetap sementara bersama ibu dan ayah kerana menunggu rumah yang masih dalam proses pembinaan.
Menurutnya, dia serta suami bukan sengaja mahu hidup dalam kesusahan tetapi pendapatan suami yang tidak menentu. Suaminya hanya melakukan kerja kampung membuatkan mereka tidak mampu mencari rumah yang lebih selesa.
“Sebelum ini, suami ada melakukan kerja mengambil upah sebagai tukang namun tidak dibayar seperti dijanjikan membuatkan dia kecewa.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini kerana tidak tahu cara untuk memohonnya.
“Saya memang perlukan bantuan terutama rumah. Namun disebabkan tidak tahu cara memohon serta arah untuk dituju akhirnya hasrat itu dilupakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosdi di talian 019-7246892.
Sumber: Harian Metro