JEMPOL: Sebuah treler yang membawa muatan lebih 500 tong gas kosong terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer 17, Jalan Bahau – Rompin, di sini kira-kira pukul 12.25 kelmarin, Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, siasatan awal mendapati, pemandu treler seorang diri membawa muatan tong gas kosong dalam perjalanan dari Bahau di sini menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan.

“Dalam kejadian itu juga semua muatan tong gas yang kosong telah bertaburan di atas jalan dan pemandu telah tersepit di bahagian hadapan kenderaannya.

“Mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, mangsa berusia 45 tahun, dipercayai mengalami kecederaan patah tangan kanan dan kaki kanan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

Baca Juga: Tong Gas Meletup, Bakal Pengantin Melecur Ditidurkan

Bakal pengantin berusia 26 tahun yang melecur hampir keseluruhan badan akibat letupan tong gas petroleum memasak (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, di sini, semalam kini ditidurkan.

Tong Gas Meletup, Bakal Pengantin Melecur Ditidurkan

Menurut adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, kakaknya terpaksa ditidurkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan luka melecur di tubuhnya agak kritikal.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Azib, kakaknya, Siti Hajar Hanis dilaporkan stabil dan akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bertemu pakar kulit.

Katanya, buat masa ini kakak akan dirawat di Hospital Seberang Jaya dulu sebab tiada kekosongan katil di HPP. Nanti bila ada kekosongan katil, kakak akan terus dibawa ke HPP untuk menemui pakar kulit di sana.

Ujarnya, keadaan kakak buat masa ini stabil selain organ dalamannya juga berada dalam keadaan baik selepas doktor melakukan pemeriksaan.

Sementara itu, Muhammad Azib memberitahu, pihak keluarga masih belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau menunda majlis pernikahan kakaknya yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Katanya, kami akan tunggu kakak sedar dahulu, tengok keadaannya macam mana dan baru akan buat keputusan berhubung perkara itu. Malah kami juga ada berbincang dengan tunang kakak berhubung perkara itu.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi semalam, Siti Hajar Hanis melecur hampir 70 peratus di bahagian badan akibat disambar api selepas tong gas memasak meletup ketika hendak menggoreng ikan.

Kejadian itu turut menyebabkan hampir keseluruhan struktur bangunan rumah teres dua tingkat itu mengalami kerosakan.

Menurut Muhammad Azib, dia dan isterinya kini tinggal di rumah ibu bapanya di Lubuk Meriam sementara kediaman mereka dibaik pulih.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply