Premis Belum Buka, Ramai Dah Beratur Di Pusat Beli-belah | Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali lebih-lebih lagi untuk pulang beraya di kampung halaman. Namun,  aktiviti membeli-belah bagi persiapan musim perayaan tetap diteruskan sama ada yang berada di bandar mahupun di kampung.

Premis Belum Buka, Ramai Dah Beratur Di Pusat Beli-belah

Kuala Lumpur: Jalan Tuanku Abdul Rahman merupakan tempat yang paling meriah bagi mereka yang terkandas tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Namun, apa yang mengejutkan apabila ramai yang telah menunggu giliran untuk membeli-belah walaupun tatkala itu premis perniagaan masih belum dibuka.

“Saya terkejut melihat orang ramai sudah sedia beratur seawal jam 10 pagi untuk ke pusat beli-belah walaupun premis berkenaan belum dibuka,” kata Sharifah Mahmud, 46.

Sharifah yang juga seorang suri rumah berkata, dia bersama suaminya tiba di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada jam 9.30 pagi semalam untuk membeli keperluan raya.

Katanya, dia dan suami memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi bagi mengelak kesesakan. Namun, apabila tiba jam 9.30 pagi, pasangan suami isteri itu mendapati ramai orang yang sudah beratur untuk memasuki pusat beli-belah meskipun ia belum dibuka lagi.

“Saya dimaklumkan orang semakin ramai menjelang petang dan malam. Disebabkan itu, saya memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi namun keadaan agak sesak juga terutama menjelang tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung di Jalan Tunku Abdul Rahman, Zulkifli Abdullah, 34, berkata kehadiran orang ramai dengan jumlah yang besar itu menyebabkan dia lebih selesa menunggu isterinya di luar pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, dia melihat ramai orang di dalam pusat beli-belah itu yang dikatakan sejak pagi beroperasi dan semakin bertambah menjelang tengah hari.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta beratur sebelum memasuki premis.

“Malah, kita dapat lihat anggota polis mahupun anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan rondaan di sekitar kawasan ini (Jalan Tuanku Abdul Rahman),” katanya yang juga kakitangan awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah menambah dua kali ganda jumlah anggota bagi melakukan pemantauan di lokasi berkenaan berbanding hari biasa.

Katanya, lebih 300 anggota telah dikerahkan untuk melakukan pemantauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada cuti umum, hujung minggu serta pada hari-hari terakhir Ramadan disebabkan jumlah pengunjung yang terlalu ramai pada ketika itu.

“Jumlah keanggotaan itu hanya membabitkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan tidak termasuk anggota trafik serta anggota penguatkuasa DBKL yang turut ditugaskan untuk melakukan pemantauan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zainal berkata, hasil dari pemantauan yang dilakukan pihaknya, dianggarkan kira-kira 30 hingga 70 kompaun dikeluarkan secara purata setiap hari di kawasan berkenaan atas kesalahan pelanggaran SOP.

“Antara kesalahan dikenakan kompaun di kawasan berkenaan adalah tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan memandangkan kita masih lagi di dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Selain itu, orang ramai disarankan supaya tidak membawa anak kecil ke kawasan sesak bagi mengelak risiko jangkitan kepada anak-anak,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply