Penjaga Reban Ayam Didakwa Kerana Membunuh Seorang Lelaki | Kejadian bunuh seringkali berlaku di negara ini lebih-lebih lagi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sering kita lihat dan dengar jumlah peningkatan kes bunuh ini menjadi isu di semua platform media sosial sama ada online mahupun di dada akhbar.

Penjaga Reban Ayam Didakwa Kerana Membunuh Seorang Lelaki

Kota Bharu: Terbaru, penjaga reban ayam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sulaiman Yaacob, 22, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Sementara itu, mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga warga Thailand itu didakwa membunuh Mohd Daiylamien Mohd Ashari, 38, di reban ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Che Arus, Kok Lanas di sini, pada 11.30 malam hingga 11.46 malam, 19 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Dalam pada itu, mahkamah kemudiannya telah menetapkan 1 Ogos nanti sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penjaga reban ayam menikam seorang lelaki sehingga mati selepas mangsa terpijak kepalanya ketika sedang tidur.

Suspek yang dikenali sebagai Man Siam itu kemudiannya melarikan diri selepas kejadian sebelum ditahan polis pada 2 petang ketika bersembunyi dalam semak berdekatan lokasi kejadian pada 20 Mei lalu.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply