Mengaku Tidak Bersalah, Datuk Didakwa Tipu Jualan Saham RM400,000 | Saham merupakan pegangan hak milik sesuatu syarikat dalam bentuk ekuiti. Di Malaysia, kebanyakan perniagaan adalah dijalankan oleh syarikat, selain daripada yang dijalankan oleh atas nama individu sahaja.

Mengaku Tidak Bersalah, Datuk Didakwa Tipu Jualan Saham RM400,000

Ipoh: Terbaru, seorang pemaju hartanah bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menipu berkaitan penjualan saham berjumlah RM400,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Chin Yoon Seong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen.

Dalam pada itu, mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa menipu Lee Wan How, 36, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan menjual saham syarikat miliknya dan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM400,000.

Difahamkan, perbuatan itu didakwa dilakukan di B-G-22A, Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah pada 6 dan 12 Januari 2017.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon kepada mahkamah untuk mengenakan ikat jamin RM10,000 namun peguam, Raam Kumar yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply