Lelaki Nekad Cuba Terjun Jejambat Di Bukit Jelutong. Ini Puncanya | Putus cinta dipercayai menjadi punca seorang lelaki mahu terjun dari jejambat Bukit Jelutong di Lebuhraya Guthrie dekat sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan berusia 20-an itu berjaya dihalang pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan menerima panggilan kecemasan mengenai cubaan bunuh diri jam 11.38 pagi dan sepasukan enam pegawai serta anggota tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang lelaki tempatan cuba terjun dari jejambat yang dianggarkan setinggi 9.1 meter.
“Proses memujuk berlangsung kira-kira 10 minit dan mangsa turun dengan terjun ke atas sebuah lori kontena yang kebetulan berhenti di bawah jejambat berkenaan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : Harian Metro