Tular Kubur Tidak “Disentuh” Kepala Air. Ini Jawapan Imam Yang Ditunggu Ramai | Sebuah kubur yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jame’ Badlishah di sini didakwa tidak menerima kesan yang serius dalam kejadian banjir lumpur dan arus deras akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.
Kubur tersebut milik seorang bekas guru yang meninggal dunia pada 18 Mei tahun lepas.
Gambar kubur yang didakwa tidak ‘disentuh’ dalam tragedi itu berbanding kubur-kubur lain kawasan tanah perkuburan itu juga mula tular di media sosial sejak semalam.
Selepas gambar kubur tersebut menjadi viral, pihak pengurusan masjid menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang ingin mengetahui keadaan sebenar kubur yang didakwa terlibat itu.
Imam masjid berkenaan, Ahmad Fadzil Rukunuddin,78, yang ditemui berkata, kubur tersebut terletak di kawasan lebih tinggi dan jauh dari sungai berbanding kubur-kubur lain.
“Kubur berkenaan juga telah ditambah tanah dan diletakkan bata sekelilingnya oleh ahli keluarga arwah sejak dikebumikan pada tahun lalu.
“Pihak masjid terkilan dengan penyebaran gambar kubur itu yang didakwa tidak betul dan boleh mencetuskan polemik membabitkan agama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahmad Fadzil menambah, batu kecil yang kelihatan bersih dan tidak mempunyai terkesan lumpur juga kemungkinan baru ditabur oleh ahli keluarganya atau dibasahi air hujan.
“Kita tak mahu lagi perkara ini diviralkan kerana keadaan itu boleh menyebabkan pelbagai perkara khurafat timbul dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia