Parcel Pembelian 11.11 Berpotensi Tercemar COVID-19 – China | BEIJING: Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran mengenai bungkusan yang berpotensi tercemar dengan COVID-19 sebaik perayaan beli-belah dalam talian tahunan terbesar negara itu semakin hampir.
Ia selepas tiga pekerja di sebuah syarikat kecil yang membuat pakaian kanak-kanak diuji positif virus itu.
Pihak berkuasa sedang menguji pakej dan memantau orang yang telah mengendalikannya selepas jangkitan itu ditemui di Haohui Ecommerce Co., yang berpangkalan di Hebei, wilayah sekitar Beijing.
Perkhidmatan penghantaran bungkusan di dua bandar di sana – Xinji dan Jinzhou – serta bandar Shenze telah dihentikan, menurut satu kenyataan kerajaan.
Kira-kira 300 pakej telah diuji, semuanya didapati negatif.
Ujian juga telah dilakukan di sebuah daerah kecil di selatan China Guangxi, di mana 16 bungkusan daripada syarikat itu dihantar dalam apa yang pihak berkuasa gambarkan sebagai ‘rantaian mel berkaitan COVID’.
Suruhanjaya kesihatan tempatan berkata, sesiapa yang menyentuh bungkusan itu perlu menjalani ujian dan pemantauan COVID-19.
Sementara itu, pihak berkuasa di Xilinhot Inner Mongolia telah memberitahu orang ramai yang membeli-belah di atau menerima bungkusan dari kedai pakaian lain pada bulan lalu supaya melaporkan kepada jabatan pencegahan penyakit tempatan selepas lebih banyak kesan COVID-19 dikesan.
Tiada ujian positif telah dikaitkan dengan item terbabit.
China sebelum ini telah memeriksa barangan seperti makanan sejuk beku yang diimport untuk virus itu.
Amaran terbaharu hadir ketika pembeli China bersiap sedia untuk ‘Hari Tunggal’ Khamis (11 November), bonanza beli-belah dalam talian terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Alibaba Group Holding.
Jualan daripada acara itu tahun lalu berjumlah kira-kira 500 bilion yuan (RM323.52 bilion).
China meneruskan pendekatan sifar COVID, memburu setiap kemungkinan jangkitan dalam usaha membendung wabak varian Delta.
Langkah-langkah itu termasuk menutup sekolah dan tempat hiburan, dan menguji orang yang pernah berada di kawasan umum yang sama dengan seseorang yang didapati dijangkiti.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan 39 jangkitan tempatan hari ini, menjadikan jumlah kes dalam wabak semasa melebihi 1,000.
Sesetengah orang mengadu di media sosial bahawa mereka terpaksa kuarantin di rumah kerana kod hijau mereka, yang menjejaki status kesihatan, menjadi kuning selepas mereka menerima bungkusan.
Pihak berkuasa China berkata, bungkusan dari luar negara atau tempat domestik berisiko tinggi harus dibersihkan.
Walaupun untuk barangan dari kawasan berisiko rendah, penerima digalakkan memakai topeng dan sarung tangan semasa mengambil dan membuka penghantaran. – BLOOMBERG
Sumber: Berita Harian