Kalau Matahari Boleh Terangi Bumi, Kenapa Angkasa Gelap ? Ini Jawapannya | Kalau Matahari menerangi Bumi, kenapa angkasa gelap? Mesti anda pun pernah tertanya-tanya kan?
En Zamir Mohyedin telahpun menjelaskan beberapa sebab yang boleh dijawab untuk menjelaskan fenomena ini di laman Facebooknya. Ikuti penjelasan beliau di bawah :
1. Matahari terlalu kecil untuk terangi angkasa. Ibarat anda bermain telefon dalam bilik gelap. Lampu telefon tidak mampu menerangi satu bilik.
2. Objek-objek samawi di ruang angkasa sistem suria tidak begitu banyak dan padat untuk memantulkan cahaya Matahari ke sekitar ruang angkasa Bumi. Paling dekat pun Bulan, itu pun seketul saja.
3. Bumi mempunyai atmosfera untuk memerangkap cahaya Matahari, tuntas Bumi kelihatan cerah. Di Bulan, langitnya gelap walaupun waktu siang kerana atmosfera Bulan sangat nipis. Di Bulan, waktu siangnya dipancarkan cahaya, tetapi keadaannya tidak secerah Bumi (boleh lihat gambar angkasawan yang menjejakkan kaki di Bulan).
4. Kalau banyak bintang di angkasa, kenapa angkasa masih gelap? Sebab alam terlalu luas dan sedang mengembang. Jadi, banyak cahaya bintang masih belum sampai kepada kita ataupun mungkin tidak akan sampai.
5. Ataupun sebenarnya alam sudah terang, tetapi diterangi oleh cahaya yang spektrumnya tidak dapat kita lihat. Kalau kita boleh lihat spektrum ini, alam semesta tidak gelap seperti yang kita lihat sekarang. Cahaya ini tak dapat dilihat kerana gelombangnya telah memanjang akibat daripada pengembangan alam semesta.
Sumber : Zamir Mohyedin