Haram Transaksi ‘Online’ Semasa Solat Jumaat? Ini Jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan | Khalifah Media Networks – Umat Islam terutama golongan lelaki yang mukallaf adalah haram melakukan transaksi urus niaga atau proses jual-beli secara online ketika tempoh waktu solat fardu Jumaat.
Peringatan tersebut diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi slot Irsyad al-Fatwa Siri Ke-683 yang disiarkan laman sesawang rasmi agensi itu semalam.
“Hukum melakukan transaksi bisnes dalam talian itu adalah haram. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh melalaikan seseorang daripada memberi tumpuan untuk ibadah solat Jumaat,” katanya.
Konteks larangan berkenaan juga adalah sama seperti tegahan syarak ke atas umat Islam. Berikutan melaksanakan perniagaan jual beli secara fizikal yang biasa di premis kedai pada waktu itu.
Justeru, PMWP menasihatkan umat Islam agar menjauhkan diri daripada kesalahan tersebut namun dibolehkan meneruskan urus niaga selepas selesai dilaksanakan solat Jumaat itu.
Pada asasnya, hukum berjual-beli sepanjang hari Jumaat adalah diharuskan.
Tetapi apabila masuk sahaja waktu solat Jumaat, urusan duniawi tersebut perlu ditinggalkan dengan segera.
Dalil Dari Al-Quran
Dalil perkara itu dapat dilihat daripada firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 9.
Turut dihuraikan ulama terkenal Imam Ibn Kathir menerusi kitab karangannya, Tafsir Ibn Kathir.
Waktu larangan urus niaga tersebut menurutnya bermula ketika azan kedua dikumandangkan dan khatib berada di atas mimbar sebagaimana pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Hujah berkenaan turut disepakati ramai fuqaha yang berpandangan ia adalah jelas bentuk pengharaman. Termasuk urusan akad nikah untuk munakahat atau sewa menyewa muamalat.
Perkara ini turut dapat dirujuk menerusi pelbagai kitab feqah yang masyhur antaranya ialah Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah, Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih dan Tuhfal al-Muhtaj.
“Sifat jual beli atas talian adalah sama seperti kaedah konvensional iaitu perlu ada pembeli, penjual dan barang dagangan. Termasuk proses akad atau pemeteraian urus niaga,” jelas PMWP.
Sehubungan itu, hukum berkaitan bisnes ‘online’ pada waktu solat Jumaat adalah terpakai sama iaitu dilarang.
Hal ini kerana, perbuatan ini membuatkan seseorang itu lalai untuk fokus ibadah fardunya.
Bahkan umat Islam adalah dinasihatkan supaya menjauhi diri daripada melakukan kesalahan tersebut.
Namun dibolehkan menyambung semula transaksi selepas tamat solat berkenaan.
Sumber: Utusan Malaysia