Rumah agam berusia 286 tahun yang telah menjadi tapak beberapa peristiwa ‘misteri’ serta mengilhamkan filem seram The Conjuring (2013) akan dijual pada harga AS$1.5 juta (kira-kira RM6.6 juta).

Rumah 'Hantu' The Conjuring Bakal Dijual. Ada Orang Yang Sanggup Beli?

Menurut portal NDTV, rumah ladang itu mempunyai keluasan sebanyak 3,100 kaki persegi (kira-kira 288 meter persegi).

Rumah tersebut yang terletak di Rhode Island merupakan salah satu rumah berhantu yang paling terkenal di Amerika Syarikat (AS).

Pemilik terdahulu rumah itu, penyiasat paranormal, Jenn dan Cory Heinzen telah membeli rumah itu pada 2016.

Difahamkan, pembeli baharu, Jacqueline Nunez, ialah pemaju hartanah dari Boston.

Heinzen akan mengadakan siaran langsung untuk membuat pengumuman berkenaan penjualan hartanah itu di laman Facebook pada Khamis.

Menurut The Wall Street Journal, pasangan itu menerima beberapa tawaran untuk rumah tiga bilik tidur itu.

Pasangan itu berkata, mereka menerima banyak tawaran yang tidak masuk akal tetapi ramai enggan ditemu bual.

Kemudiannya, pasangan itu berkeras untuk menemu bual beberapa bakal pembeli berpontesi sebagai syarat penjualan hartanah tersebut.

Mereka turut mengenakan beberapa syarat lain termasuk pembeli tidak tinggal di rumah itu.

Ini kerana, mereka mendakwa bahawa itu sebagai perlindungan kepada pembeli.

Pemilik baharu perlu mengekalkan rumah tersebut sebagai entiti perniagaan.

Mereka juga perlu membenarkan pelawat bermalam serta menjalankan siasatan berkenaan akitiviti paranormal di situ.

Andrea Perron, 63, yang tinggal di situ antara 1971 dan 1980 berkata, keluarganya mengalami pengalaman pahit di sana.

Dia mendakwa pernah melihat ibunya melayang di atas kerusi kemudian dicampak sejauh 20 kaki (kira-kira enam meter).

Bagaimanapun, Perron berkata ibunya tidak mempunyai ingatan mengenai peristiwa itu.

Seorang penyiasat paranormal telah melawat rumah itu ketika keluarga Perron masih tinggal di sana.

Dia berkata, keluarga itu menggambarkan seorang perempuan ditampar oleh ‘entiti ghaib’.

Kemudian, dua lagi penyiasat paranormal turut menawarkan diri untuk membantu siasatan.

Kisah berkenaan diadaptasikan dan dipaparkan dalam filem seram, The Conjuring, pada 2013.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply