Seorang lelaki yang berasal dari Australia dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditangkap memanjat pohon beringin yang dianggap suci, demi kandungan media sosial semata-mata.
Menurut Kompas.com, Pejabat Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia memaklumkan bahawa Samuel Lockton telah mengganggu penduduk di Kampung Tradisional Kelod Kelaci, Tabanan, Bali.
Ketua Kementerian berkenaan, Anggiat Napitupulu berkata, lelaki itu tidak dibenarkan berada di Bali lagi selepas melakukan gangguan tersebut.
Mereka memerintahkannya supaya meninggalkan Indonesia dan dilarang masuk ke negara ini dalam tempoh tertentu.
Tambah Anggiat, lelaki itu sudah memohon maaf kepada masyarakat adat terutamanya masyarakat Pura.
Terdahulu, Samuel mengaku memanjat pokok tersebut beberapa kali sebagai hobi serta merakamkan aksinya untuk dimuat naik di laman TikTok.
Dia memasuki negara itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Tuban, Bali, 6 Jun lalu menggunakan visa pelancong.
Sabtu lalu, penduduk setempat menangkap lelaki tersebut dan dibawa ke balai polis.
Kemudian, lelaki itu diserahkan kepada pihak imigresen untuk proses selanjutnya.
Sumber: Oh Bulan