Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuannya terhadap terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi penghakiman terus terhadap anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa, mengenai dakwaan cukai pendapatan tidak dibayar.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana, berkata notis pemberhentian oleh LHDN itu bermakna rayuan tidak akan diteruskan seperti dijadualkan di hadapan Mahkamah Rayuan hari ini.
Jelasnya, LHDN memfailkan notis pemberhentian semalam, yang menyebabkan rayuan itu dikeluarkan daripada senarai.
Yeong Kang juga mengesahkan urusan antara LHDN dan Nooryana sudah pun diselesaikan, namun beliau tidak mengulas lanjut.
Peguam kanan hasil LHDN, Hazlina Hussain, mengesahkan keputusan untuk tidak meneruskan rayuan itu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2020 menolak permohonan penghakiman ringkasan kerana afidavit yang dikemukakan oleh pegawai tidak mengesahkan kepercayaan bahawa tiada merit untuk pembelaannya.
Mahkamah juga mendapati perakuan dikemukakan kerajaan sebagai bukti jumlah cukai yang perlu dibayar dan perlu dibayar tidak ditandatangani oleh ketua pengarah LDHN seperti dikehendaki di bawah Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Nooryana, anak kedua Najib hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Rosmah Mansor, dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan LHDN pada Julai 2019 selepas gagal menyerahkan borang nyata cukai pendapatan individu bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.
LHDN meminta RM10,335,292.36, ditambah faedah ke atas jumlah itu pada kadar 5 peratus setahun dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sumber: Berita Harian