Sungai Petani: Wanita hamil tiga bulan antara tujuh pasangan dicekup berkhalwat dalam operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sempena Malam Tahun Baru 2023 di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, berusia 20an itu turut mengaku pernah terlanjur malah mempunyai dua anak hasil hubungan sulitnya dengan pasangan yang berlainan.

Dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, wanita berkenaan ditahan bersama pasangan yang juga berusia 20-an.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, wanita yang belum berkahwin itu mengaku sedang hamil tiga bulan dan dua anaknya yang masih kecil itu dikatakan kini berada dalam jagaan keluarga.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing wanita itu dan pasangannya mendapati mereka positif dadah malah mereka turut gagal menunjukkan Mykad apabila diminta dan memberi alasan hilang.

“Dalam pada itu, dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih didapati berpura-pura tidur sewaktu serbuan dilakukan di sebuah hotel di bandar raya ini sekitar jam 1.06 pagi tadi.

“Berikutan itu, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan kunci pendua selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali disebabkan pasangan itu enggan membukanya namun gagal apabila pintu dikunci dari dalam.

“Pihak kami akhirnya berjaya membuka pintu bilik berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berpura-pura tidur di atas katil manakala pasangannya tidur di bawah,” katanya.

Mohd Noor Ismardi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka mengaku sudah bertunang dan sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej di Perak.

Katanya, mereka memberi alasan datang ke Sungai Petani untuk menyambut Tahun Baru 2023.

“Kesemua tujuh pasangan yang ditahan dalam operasi malam tadi disertai 50 anggota dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan JHEAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Badar dan imam serta ahli jawatankuasa masjid.

Mohd Noor Ismadi berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan dan diminta untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: HM

Baca Juga: Bapa Lima Orang Anak Kena Cekup Khalwat Dengan Isteri Orang

Bapa lima anak sanggup mengaku dia dan pasangannya yang juga isteri orang sudah berkahwin ketika dicekup dalam Operasi Ambang Tahun Baru 2023 di hotel bajet di Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Pasangan kekasih berusia 56 dan 40 tahun itu memberi alasan sedemikian ketika disoal oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki itu malah ‘bertegas’ dengan alasannya sebelum helahnya terbongkar apabila pemeriksaan nombor kad pengenalannya secara dalam talian menunjukkan dia berstatus suami orang serta gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan sah.

Menurutnya, penguat kuasa terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan itu membuka pintu bilik dengan lelaki yang bekerja sebagai operator kilang dalam keadaan tidak berbaju.

“Hasil soal siasat wanita mempunyai dua orang anak itu mengakui datang ke Melaka dari Sabah untuk berjumpa lelaki itu yang sudah lama dikenali.

“Dia mendakwa tinggal di Balakong, Selangor dan sering menemani teman lelakinya ke Melaka, namun semakan mendapati mereka bukan suami isteri dan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah,” katanya kepada media.

Che Sukri berkata, mereka antara enam pasangan kekasih berusia 21 hingga 56 tahun yang dicekup dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi di daerah ini dan Melaka Tengah.

Beliau berkata, turut ditahan pasangan peniaga masing-masing berusia 24 dan 21 tahun yang berniaga di Kuala Lumpur.

Katanya, ketika disoal siasat lelaki itu memberikan alasan membawa pasangannya berasal dari Perlis ke Melaka untuk bertemu keluarganya bagi merancang pernikahan mereka.

“Lelaki itu memaklumkan dia berasal dari daerah ini dan berhasrat menikahi pasangannya yang menolongnya berniaga burger.

“Mereka juga menyatakan sudah dua hari menginap di hotel terbabit dan kedua-duanya ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, semua pasangan yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksium RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Che Sukri berkata, keseluruhannya 35 penguat kuasa JAIM terbabit operasi cegah maksiat bersama anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply