Kehadiran seekor tapir yang berkeliaran di aras lima tempat meletak kenderaan sebuah hotel mewah di Banda Hilir di sini, mencemaskan kakitangan dan pelanggan premis berkenaan.

Difahamkan kelibat haiwan yang dipercayai sesat itu mula dikesan orang awam kira-kira pukul 9.04 pagi tadi.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hassan berkata, tapir berkenaan dipercayai masuk ke tempat tersebut melalui laluan masuk kenderaan dan kemudiannya sesat tidak dapat mencari jalan keluar.

Jelasnya, pihaknya mengalami sedikit kesukaran menangkapnya berikutan haiwan itu bertindak agresif.

May be an image of 2 people and animal

“Seramai lapan anggota dari BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati haiwan itu berkeliaran di kawasan terbabit.

“Bomba meminta bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan berjaya menangkap tapir itu.

May be an image of 8 people, people standing and outdoors

“Kita percaya haiwan berkenaan dipercayai masuk ke tempat parkir itu melalui jalan masuk kereta dan sesat untuk keluar semula dari bangunan terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Sofian, Perhilitan juga terpaksa menggunakan bius untuk melemahkan tapir berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan haiwan liar tersebut.

“Tapir telah berjaya diangkat dan dialihkan pada pukul 2.30 petang tadi. Haiwan tersebut telah diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

May be an image of 9 people, people standing and outdoors

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firdhaus Mahmood berkata, pihaknya mendapat aduan awam dan telah mengesan kehadiran tapir seberat lebih 250 kilogram itu sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini kita memang telah mengesan kehadiran tapir ini dan pasukan dalam keadaan bersiap siaga untuk menyelamatkannya.

“Pada pagi ini kita menerima panggilan daripada bomba dan terus ke lokasi bagi menjalankan operasi penyelamatan menggunakan pelali,” katanya.

Sumber : UM

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Buaya Tembaga Berkeliaran Di Kampung Air Hitam

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri sebatang jalan yang juga lokasi terakhir seekor buaya tembaga dilihat di Kampung Air Hitam di sini.

Pengarah Perhilitan Pahang Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia itu berada di kawasan semak di situ, yang kini ditenggelami banjir.

Menurutnya, kakitangan Perhilitan daerah sudah meninjau kawasan terbabit sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Semalam, kita dapati ramai remaja dan kanak-kanak berada di kawasan itu bagi melihat lebih dekat sambil bermain air di lokasi buaya berkenaan ditemui.

“Kami minta orang ramai supaya tidak berada di lokasi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya juga mengingatkan penduduk Kampung Air Hitam supaya lebih berhati-hati, paras air banjir yang meningkat di kawasan terbabit membolehkan buaya bergerak bebas dan muncul di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit secara berterusan.

Rozidan menambah, Perhilitan mengenal pasti 10 kawasan penempatan penduduk di daerah ini yang terletak berhampiran Sungai Kuantan dan Sungai Belat yang sering dikejutkan dengan kemunculan buaya tembaga.

Menurutnya, tiga kawasan yang hampir dengan Sungai Kuantan ialah Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Jawa. Tujuh kawasan yang hampir dengan Sungai Belat ialah Kampung Seri Damai, Kampung Air Hitam, Taman Seri Inderapura, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan perumahan Sungai Isap.

Sementara itu, penduduk Kampung Air Hitam, Abu Sufian Husin, 54, berkata, kemunculan buaya tembaga itu menggemparkan penduduk.

Katanya, walaupun banjir melanda kawasan berkenaan hampir setiap tahun namun kemunculan buaya tidak pernah direkodkan.

“Reptilia ini mungkin tersesat. Buaya itu dilihat berada di atas jalan berkenaan dua malam berturut-turut dan masuk ke kawasan semak yang ditenggelami banjir akibat kehadiran orang ramai.

“Penduduk berharap Perhilitan dapat menangkap buaya itu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply