
Bapa Terkilan Bayi Umur Setahun Pergi Selamanya Dalam Sekelip Mata.
“Saya berasa ralat dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi apabila ia terjadi selepas 10 tahun kami cuba dapatkan zuriat sebelum dikurniakan (anak) kembar lelaki”
Kajang: “Saya berasa ralat dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi apabila ia terjadi selepas 10 tahun kami cuba dapatkan zuriat sebelum dikurniakan (anak) kembar lelaki,” kata Amirul Ridzuan Abu Bakar.
Amirul Ridzuan, 39, adalah bapa kepada bayi lelaki berusia kira-kira setahun yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini, semalam.
Menceritakan kejadian itu, Amirul berkata, isterinya, Nurul Husna Khairuddin, 38, bersama anak mereka, Amir Husain dan Amir Hassan dengan bapa serta ibu mentuanya keluar untuk bersarapan di sebuah restoran di TTDI Grove dengan menaiki sebuah Honda City.
Menurutnya, dia pula berada di Kedah ketika kejadian itu atas tuntutan kerja sebagai pensyarah di Perlis.
“Pada 10.59 pagi, saya menerima mesej SOS (kecemasan) daripada telefon isteri. Saya cuba menghubunginya beberapa kali, namun panggilan tidak berjawab.
“Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya ada orang lain yang menjawab panggilan saya dan memaklumkan bahawa isteri mengalami kemalangan,” katanya.
Amirul berkata, dia dimaklumkan anaknya, Amir Husain meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas tercampak keluar dari kereta.
“Kembarnya, Amir Hasan yang menerima rawatan di hospital sama sudah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi dan akan dipantau keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa,” katanya.
PERUBAHAN SIKAP
Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa Amir Husain ada menunjukkan perubahan sikap pada hari kejadian.
“Kebiasaannya, dia (Amir Husain) makan agak bersepah seperti mana kanak-kanak lain. Tetapi semalam, dia makan bersungguh-sungguh dan tidak bersepah seolah-olah dia tahu akan ‘pergi’.
“Apabila dikenang kembali, kira-kira 10 tahun saya dan isteri cuba dapatkan zuriat sejak kami berkahwin pada 2013.
“Akhirnya, kami dikurniakan anak kembar lelaki yang dilahirkan pada 20 Mei tahun lalu.
“Amir Husain adalah adik yang lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan,” katanya yang memaklumkan jenazah Amir Husain dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, pagi hari ini.
Menurutnya, dia sedih melihat keadaan isterinya yang juga seorang pensyarah dan masih belum bersedia untuk berkongsi kisah dalam kejadian itu.
“Saya ralat dengan tindakan pemandu lori itu. Saya juga ralat kerana tidak dapat bersama anak ketika kejadian kerana PJJ (perhubungan jarak jauh).
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anak kami. Doakan juga supaya kami tenang dan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Semalam, dilaporkan seorang bayi maut. Manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini.
Sumber : HM



