“Saya Maafkan Keluarga Pemandu Itu”. Ini Luahan Bapa Arwah Syakirah Hanan.
“Ya, dia datang meminta maaf atas kejadian yang berlaku. Saya maafkan mereka”
KUALA TERENGGANU: Mazli Yusoh, 51, tenang menerima permohonan maaf daripada keluarga pemandu Honda Jazz yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa anak perempuannya, Syakirah Hanan, 25, tengah hari semalam.
Mazli yang juga guru Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut dikunjungi keluarga berkenaan ketika menunggu bedah siasat arwah anaknya di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, petang semalam.
“Ya, dia datang meminta maaf atas kejadian yang berlaku. Saya maafkan mereka, lagi pun mereka tak bersalah. Dalam Islam kita wajib memaafkan kalau orang datang minta maaf.
“Apa yang berlaku ini semuanya sudah suratan takdir. Allah telah menetapkan. Itu dari segi hukum.
“Undang-undang dunia kita kena ikut juga… undang-undang dunia seperti kecuaian manusia dan sebagainya tetapi itu cerita lain lah… tetapi dari segi hukum kita terima sebab sampai masa kita akan mati,” katanya.
KEADAAN JENAZAH SEMPURNA
Bapa Allahyarhamah, Mazli Yusoh, 51, berkata, beliau bersyukur kerana keadaan jenazah anaknya sempurna dan urusan pengebumian berjalan dengan lancar.
“Saya bersyukur kerana urusan pengebumian dipermudahkan dan jenazah anak saya selamat dikebumikan.
“Alhamdulillah, jenazah anak sangat comel, hanya lebih kepada kecederaan dalaman dan hanya sedikit cedera pada wajah,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini.
DILANGGAR SEBUAH KERETA
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil jam 1.38 tengah hari semalam. Kereta Perodua Viva dipandu Syakirah Hanan yang juga penuntut UniSZA dilanggar sebuah Honda Jazz dipandu seorang lelaki yang datang daripada arah bertentangan ketika arwah membelok ke kanan jalan sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Lelaki berusia dalam lingkungan 32 tahun dan berasal dari Kampung Bukit Cempaka, Kepong, di sini. Dikatakan dalam perjalanan daripada Jalan Kemajuan untuk pulang ke kampungnya.
Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit dalam keretanya yang remuk.
Difahamkan, lelaki terbabit cedera parah termasuk patah tangan kiri serta leher dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sumber : BH




