UMNO

KJ Hadir Perhimpunan Agung Pemuda UMNO. Ini Penjelasan Beliau.

“Semalam saya jumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid di tahlil untuk (bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak.”


 

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda UMNO. Khairy Jamaluddin menyifatkan kehadirannya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO hari ini suatu yang amat emosi baginya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata. Ini disebabkan beliau dapat pulang ke perhimpunan parti asalnya, selepas dipecat tiga tahun lalu.

Khairy berkata, beliau juga mendapat keizinan daripada Presiden UMNO. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.

“Semalam saya jumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid di tahlil untuk (bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak. Ada Saya tanya dia, bolehkah saya datang hari ini?

DAPAT IZIN PRESIDEN

“Saya kata kalau Datuk Seri tak nak saya datang, saya tak datang. Saya hanya akan datang kalau Datuk Seri bagi izin untuk saya datang. Dan saya ucapkan terima kasih sebab dia kata, ‘jemput datang’.

“Hari ini hari yang sangat emosi bagi saya. Saya dapat pulang ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, perkara baik selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Kesihatan itu turut dilihat berteka-teki sama ada kehadirannya ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO menandakan selangkah untuk kembali kepada parti itu.

“Satu-satu. Insya-Allah. Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan insya-Allah selepas ini, kita akan buat apa yang perlu,” katanya.

Terdahulu Khairy yang berpakaian baju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok, menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Khairy tiba di WTCKL bersama Dr Muhamad Akmal, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan beberapa bekas Ketua Pemuda UMNO yang lain.

Kemunculan Khairy ke perhimpunan itu seolah-olah mengimbau kenangan beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 2009 sehingga 2018.

Ini kehadiran pertama Khairy ke Perhimpunan Agung UMNO sejak beliau dipecat daripada parti itu pada 2023 atas dakwaan memperlekehkan dan mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy sebelum ini menuduh UMNO tersasar daripada hala tuju asal dan menampilkan dirinya sebagai alternatif politik.

Sumber : HM

Share.
Leave A Reply