Ucapan Terakhir Pensyarah UPSI Buat Pelajar Dan Netizen Sebak.
“Setiap buku menceritakan watak-watak yang unik dan tidak akan sama dengan buku yang lain”
Pengalaman melanjutkan pelajaran di menara gading sering menjadi antara kenangan paling bermakna dalam kehidupan seseorang. Pada fasa inilah bukan sahaja ilmu ditimba, malah pelbagai momen berharga tercipta dan akan dikenang sepanjang hayat.
Selain menjadi medan menuntut ilmu, kehidupan universiti juga berperanan besar dalam membentuk kematangan diri sebelum melangkah ke alam dewasa yang sebenar.
Justeru, tidak hairanlah hari-hari terakhir di universiti sering dirasakan begitu berat untuk dilalui, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kelas terakhir bersama pensyarah yang disayangi.
VIDEO VIRAL UCAPAN PENSYARAH
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang dimuat naik oleh seorang mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), memaparkan ucapan terakhir daripada pensyarahnya yang menyentuh hati ramai.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @hnii, beliau memaklumkan ia merupakan kelas terakhir bersama pensyarahnya, Zulkifli Mamat atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Zul, sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir semester.
“Terima kasih Cikgu Zul atas segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan. Kelas terakhir ini cikgu beri ucapan sampai buat kami menangis,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Cikgu Zul yang mengajar kursus Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling telah menyampaikan ucapan penuh makna sehingga membuatkan seluruh kelas sebak dan terharu.
“Di hadapan saya ini ada 115 buah buku. Saya baca setiap kali saya berjumpa dan bertemu dengan kamu.
“Setiap buku menceritakan watak-watak yang unik dan tidak akan sama dengan buku yang lain. Kalau cerita dalam buku itu tidak sedap, adakah wajar saya mengoyakkan buku tersebut?
“Sebab itulah saya perlu menerima setiap buku itu seadanya, seperti mana ia hadir di hadapan saya.
“Jadi saya minta kamu halalkan segala ilmu yang saya pelajari daripada kamu. Kamu semua adalah buku-buku saya, yang memberi ruang untuk saya membaca pada setiap masa,” katanya.
@hazelnuticedchocolate last class for this semester before final exam.. terima kasih cikgu Zul atas segala ilmu & pengalaman yang dikongsikan! last class ni cikgu bagi ucapan buat kita nangis lah ek🥹🤍 #bimbingandankaunseling #FPM #degreelife #week14 #fyp ♬ kembali pulang suara kayu piano – Lyn 🤍
NASIHAT YANG PALING MENYENTUH
Tambah beliau lagi, seseorang tidak akan menjadi insan hebat sekiranya merasakan diri lebih tinggi daripada orang lain.
“Apabila kamu berada di puncak, kamu bukan siapa-siapa. Kamu tidak akan menjadi orang hebat selagi kamu merasakan diri kamu lebih hebat daripada orang lain.
“Namun, apabila kamu merasakan diri kamu lebih rendah daripada orang lain, di situlah kamu berada pada tahap paling hebat dalam hidup kamu.
“Buang segala rasa sakit dalam diri kamu. Sejarah hidup kamu tidak boleh dipadamkan, tetapi rasa sakit itu boleh dihilangkan dan digantikan dengan pengajaran dalam hidup,” ujarnya penuh makna.
Cikgu Zul turut mengingatkan para pelajarnya agar tidak pernah berhenti menuntut ilmu kerana pembelajaran adalah satu proses yang berterusan.
“Belajarlah kamu sampai ke negeri China, belajarlah dari buaian hingga ke liang lahad kerana pembelajaran itu tidak akan pernah habis. Sejauh mana pun kamu pergi, ilmu tetap ada,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapan tersebut, beliau mendoakan agar kesemua pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet yang pernah mengenali Cikgu Zul turut meluahkan rasa rindu serta mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.
“Semoga Cikgu Zul terus sihat dan sentiasa ceria. Rindu nasihat dan senyuman ‘menyeramkan’ daripada cikgu.”
“Rindu Cikgu Zul. Dahulunya guru sekolah di sekolah saya.”
“Idola sepanjang zaman, tak pernah lupa. Semoga Cikgu Zul dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan selalu.”
Sumber : TT @hnii




