Hanya Kerana Picit Jerawat, Suami Masuk ICU & Meninggal Dunia.
“Doktor yang merawat turut menjelaskan bahawa kawasan hidung adalah zon berisiko tinggi dan tidak boleh dipicit sesuka hati kerana jangkitan boleh merebak dengan cepat ke bahagian otak.”
Kehilangan insan tersayang, apatah lagi pasangan hidup, adalah ujian yang terlalu berat untuk ditanggung. Saat mereka pergi meninggalkan dunia yang sementara ini, seolah-olah sebahagian daripada jiwa kita turut diragut pergi.
Kesunyian mula mengambil alih. Rumah yang dulunya dipenuhi gelak tawa kini terasa kosong. Setiap sudut sarat dengan kenangan manis yang sukar dipadamkan, dan untuk bangkit semula bukanlah sesuatu yang mudah.
Begitulah kisah pilu yang dikongsikan oleh seorang wanita di Indonesia yang baru sahaja kehilangan suami tercinta dalam keadaan yang sama sekali tidak disangka.
Menerusi satu video yang tular di TikTok oleh pengguna @burhansyfq1. Wanita tersebut menceritakan bagaimana satu perbuatan kecil iaitu memicit jerawat di hidung, akhirnya membawa kepada tragedi yang meragut nyawa suaminya.
MENGADU SAKIT HIDUNG KERANA JERAWAT
Menurut wanita itu, suaminya sebelum kejadian sering mengadu sakit di bahagian hidung akibat jerawat yang tidak kunjung surut. Namun ketika itu, dia cuba menenangkan suaminya dengan mengatakan masalah tersebut akan pulih dengan sendiri.
Dalam nada berseloroh, wanita yang ketika itu sedang hamil berkata dia melihat jerawat tersebut sudah kelihatan matang dan kemerahan. Tanpa menyangka apa-apa yang buruk, dia memicit jerawat tersebut sambil bergurau bahawa ia akan cepat surut dan tidak lagi menyakitkan.
Namun, keesokan harinya keadaan suaminya berubah. Dia mula mengadu sakit kepala dan mengalami demam. Walaupun sudah diberikan ubat biasa, keadaannya tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan.
Malah, keadaan semakin membimbangkan apabila bahagian hidung suaminya mula membengkak dan bertambah merah. Dia juga kerap mengadu pening yang merebak hingga ke bahagian belakang kepala, selain suhu badan yang semakin meningkat dari hari ke hari.
Dalam keadaan panik, wanita itu terus memberikan rawatan asas di rumah, namun demam suaminya masih tidak surut walaupun selepas beberapa hari.
Hasil pemeriksaan lanjut di hospital mendapati terdapat darah beku di bahagian dalam hidung, menyebabkan suaminya terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu sebelum menjalani pembedahan kecemasan.
SUAMI MENINGGAL DUNIA
Namun takdir menentukan segalanya. Dua hari selepas pembedahan dilakukan, suaminya disahkan meninggal dunia.
Doktor yang merawat turut menjelaskan bahawa kawasan hidung adalah zon berisiko tinggi dan tidak boleh dipicit sesuka hati kerana jangkitan boleh merebak dengan cepat ke bahagian otak.
Mengimbas kembali detik tersebut, wanita berkenaan mengakui dirinya benar-benar lemah dan dihantui rasa bersalah yang amat mendalam.
Dia menangis teresak-esak, hampir pengsan apabila menerima berita pemergian suami tercinta, seolah-olah dunia berhenti berputar dalam sekelip mata.
Kisah ini menjadi peringatan buat semua agar tidak memandang remeh jangkitan kecil pada wajah, terutamanya di kawasan hidung, kerana kesannya boleh membawa akibat yang tidak terduga.
Sumber : TT @burhansyfq1




