Bau

Anak Pulang Sekolah Berbau ‘Syahdu’? Jangan Panik, Ini Penjelasan Pakar.

“Badan kita berubah mengikut fasa kehidupan. Bau anak yang demam pun lain, bau remaja pun lain”


 

Sesi persekolahan bagi sesi 2026 baru sahaja membuka tirainya. Pasti pelbagai ragam yang kita dapat lihat ketika hari pertama bermulanya persekolahan.

Pastinya detik ini paling bermakna buat ibu bapa, lebih-lebih lagi mereka yang menghantar anak kecil ke sekolah buat kali pertama. Keriangan, air mata, rajuk dan senyuman menjadi antara gelagat yang banyak dikongsikan di media sosial sempena hari pertama persekolahan.

Namun, selain kisah emosi anak-anak, satu perkara lain turut mencuri perhatian ramai ibu bapa iaitu bau badan ‘luar biasa’ apabila si kecil pulang dari sekolah. Ada yang menggambarkannya seperti bau telur, besi, hapak atau ayam  kedengaran pelik, namun ramai mengakui melalui pengalaman yang sama.

Situasi ini membuatkan ramai tertanya-tanya, apa sebenarnya punca bau tersebut?

Bau Badan Anak Sekolah Berbeza Dengan Bayi

Menurut seorang doktor perubatan, Dr Shazwanie Azeera, bau badan kanak-kanak yang sudah bersekolah memang berbeza berbanding bayi.

Ramai menyifatkan bau bayi sebagai “bau syurga” kerana ia lembut dan menyenangkan. Namun apabila anak mula aktif di sekolah, bau badan mereka juga akan berubah.

Jelas Dr Shazwanie, bau badan adalah perkara normal bagi manusia. Ia berlaku apabila kelenjar peluh mengeluarkan peluh untuk menyejukkan badan, terutamanya ketika cuaca panas atau selepas melakukan aktiviti fizikal.

Masalah bau timbul apabila peluh ini diuraikan oleh bakteria yang terdapat pada kulit, lalu menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.

Bau Lebih Kuat Apabila Memasuki Alam Remaja

Tambah beliau, bau badan akan menjadi lebih kuat apabila seseorang memasuki fasa akil baligh.

“Budak-budak bau telur kita boleh terima lagi. Tapi kalau remaja tak jaga kebersihan, satu rumah boleh bau sebab badan dia sahaja.

“Badan kita berubah mengikut fasa kehidupan. Bau anak yang demam pun lain, bau remaja pun lain,” jelasnya.

Dua Jenis Kelenjar Peluh Dalam Badan Manusia

Dr Shazwanie turut menerangkan bahawa manusia mempunyai dua jenis kelenjar peluh, iaitu:

1. Kelenjar Eccrine
2. Kelenjar Apocrine

Jenis Kelenjar Apocrine biasanya terdapat di kawasan berbulu seperti ketiak dan kemaluan. Peluh yang dihasilkan mengandungi protein yang tinggi, menjadikannya mudah diuraikan oleh bakteria dan seterusnya menghasilkan bau yang kuat.

“Peluh asalnya tidak berbau. Bau hanya terhasil apabila peluh bercampur dan diuraikan oleh bakteria.

“Sebab itu individu yang mempunyai banyak bulu atau tidak menjaga kebersihan seperti tidak mencukur atau membersihkan kawasan tertentu, cenderung untuk berbau lebih kuat bau keju, hapak atau tengik,” katanya.

 

@wanieazeera Kebanyakan kanak2 ada bau yang sama. Bau telur. Bau berubah bila mereka start baligh. Bau badan adalah normal tp wajib bagi kita menjaga badan kita dari berbau tak enak. Sebagai muslim, kita bersolat berjemaah dengan merapatkan saf, jd kita kena jaga bau badan kita agar x ganggu jemaah lain. Menjaga kebersihan merupakan sebahagian dari iman kita. Sesungguhnya baby bau best! Haha rujukan video @UyainaArshad ♬ original sound – WanieAzeera

Badan Manusia Hasilkan Hingga 10 Liter Peluh Sehari

Bagi kelenjar Eccrine pula, ia terdapat di hampir seluruh badan, terutamanya di tapak tangan dan kaki.

Menurut Dr Shazwanie, tubuh manusia mampu menghasilkan sehingga 10 liter peluh dalam sehari, dan sekitar tiga hingga empat liter dalam tempoh satu jam, bergantung kepada aktiviti dan suhu persekitaran.

Cara Atasi Bau ‘Telur’ Dan Bau Hapak Anak-Anak

Bagi membantu mengurangkan masalah bau badan dalam kalangan kanak-kanak, Dr Shazwanie menyarankan beberapa langkah yang boleh dipantau oleh ibu bapa:

  • Menjaga kebersihan diri dengan konsisten
  • Kerap menukar pakaian, terutamanya selepas berpeluh
  • Menggunakan deodoran semula jadi yang sesuai untuk kanak-kanak
  • Mandi dengan betul, khususnya di kawasan pelipat
  • Memilih sabun yang sesuai dengan jenis kulit anak

Kesimpulannya, bau badan selepas pulang dari sekolah adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan secara berlebihan. Dengan penjagaan kebersihan yang betul dan pemantauan ibu bapa, masalah ini boleh dikurangkan dengan berkesan.

 

Sumber : Dr Shazwanie

Share.
Leave A Reply