PUTRAJAYA – Mayat seorang pekerja warga asing ditemui dalam keadaan terbaring atas hamparan kotak di kawasan meletak kereta sebuah kondominium dalam pembinaan di Presint 15 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan tentang penemuan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati si mati merupakan warga Bangladesh yang bekerja sebagai pemasang mozek di kondominium berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, si mati yang merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai mengalami serangan jantung dan tiada sebarang kecederaan luaran lain yang ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, mayat tersebut ditemui terbaring atas hamparan kotak yang dijadikan sebagai tempat berehat di bahagian bawah tanah kondominium sedang dalam pembinaan itu.

“Majikan si mati turut berada di lokasi dan kesemua saksi akan diambil keterangan.

“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat yang akan dibuat sebaik keputusan ujian Covid-19 si mati diperolehi,” ujar beliau.

Tambah A. Asmadi, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SRD) sehingga bedah siasat selesai dijalankan.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Dua Warga Asing Maut Disyaki Akibat ‘Berlumba’

Dua lelaki warga asing yang dipercayai berlumba maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 65 Jalan Sandakan-Lahad Datu, dekat sini, malam tadi.

Dua Warga Asing Maut Disyaki Akibat 'Berlumba'

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kedua-duanya disahkan meninggal dunia lokasi kejadian akibat parah.

Sementara, seorang lagi penunggang motosikal yang selamat dipercayai lari dari kawasan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal yang ditunggang tiga pekerja ladang di daerah ini.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati, sebelum kemalangan ketiga-tiga penunggang motosikal itu bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke arah Sandakan, disyaki berlumba.

“Namun penunggang dilaporkan hilang kawalan sebelum berlanggar antara satu sama lain menyebabkan ketiga-tiga motosikal terbabas ke bahu jalan.

“Akibatnya, dua lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan manakala seorang lagi tidak dijumpai di lokasi dipercayai beredar dari kawasan kemalangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua penunggang tidak disyaki mabuk namun sampel darah dan air kencing sudah diambil untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply