Lelaki 91 Tahun Rekod Dunia Manusia Paling Tua Sembuh Koronavirus. Alhamdulillah. | Penularan koronavirus semakin terkawal dan terkini seorang lelaki warga emas berusia 91 tahun sembuh sepenuhnya dari koronavirus. Baca selanjutnya.
MANUSIA PALING TUA SEMBUH KORONAVIRUS
Seorang warga emas berusia 91 tahun dilaporkan sembuh daripada jangkitan koronavirus semalam, sekali gus menjadikan dia sebagai individu paling tua dibenarkan keluar daripada hospital selepas disahkan bebas wabak itu.
“Penyakit itu tidak begitu teruk. Saya seperti dibayangi pengalaman ketika melalui zaman perang dunia sebelum ini,” kata lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Wang yang menyertai peperangan ketika mahu membebaskan bandar Yichang pada 1949.
Beliau turut berulang kali memuji usaha dan langkah penjagaan yang diberikan kakitangan perubatan sepanjang usaha merawatnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Yichang No 3 Hospital, Du Debing memaklumkan mereka mencipta rawatan khusus untuk merawat masalah jantung berterusan yang dialaminya.
Difahamkan, Wang didiagnos positif wabak itu pada 25 Januari lalu kira-kira enam hari selepas dia menunjukkan simptom demam dan batuk.
Sehingga kini, kira-kira 1,740 pesakit dilaporkan telah sembuh di China walaupun kes jangkitan meningkat pada setiap hari. – Agensi
HOSPITAL DI WUHAN GUNA ROBOT DILENGKAPI TEKNOLOGI 5G
Dua hospital di Wuhan menggunakan robot yang dilengkapi teknologi 5G untuk membimbing pesakit dan menyahjangkit kawasan kuarantin bagi mengurangkan infeksi silang, lapor agensi berita Xinhua.
Satu robot, dipasang dengan kemudahan skrin interaktif digunakan di dewan hospital untuk membimbing pesakit bagi menjalani diagnosis dan mempromosikan maklumat mengenai pencegahan wabak, menurut syarikat yang membangunkan robot itu, CloudMinds.
Satu lagi robot diprogramkan untuk membersihkan dan menyahjangkit kawasan kuarantin serta menghantar ubat-ubatan.
Robot itu disumbangkan ke hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti novel koronavirus, menurut syarikat itu.
Robot ditugaskan di barisan hadapan dalam membantu China memerangi wabak koronavirus selain untuk mengurangkan risiko infeksi silang dan meningkatkan kecekapan.
Pengilang robot Siasun dan Institut Automasi Shenyang Akademi China sedang membangunkan robot yang boleh menggantikan jururawat dalam menjalankan ujian pada tekak untuk mengesan virus itu.
Sumber: Sinar Harian