Abai Anak OKU Sehingga Mangsa M@ti | Juri mendapati seorang lelaki Britain bersalah menyebabkan kematian anak perempuannya berusia 16 tahun yang kurang upaya.
Remaja itu didapati meninggal dunia di rumah akibat obesiti dan hidup dalam keadaan mengerikan.
Kaylea Titford yang menghidap hidrosefalus dan spina bifida ditemukan mati di rumahnya di Wales, seberat 146 kilogram.
Mangsa berbaring di atas pad tandas kotor yang dibuat untuk anak anjing, kata mahkamah.
Spina bifida adalah keadaan yang berkembang di dalam rahim, menyebabkan masalah tulang belakang dan saraf.
Ia juga boleh menyebabkan hidrosefalus atau pengumpulan cecair pada otak.
Kaylea yang menggunakan kerusi roda, meninggal dunia pada Oktober 2020 selepas mengalami keradangan dan ulser yang dijangkiti akibat obesiti dan tidak boleh bergerak.
Ulat ditemukan di badannya, kata juri.
Polis Wales berkata, keadaan itu menjelikkan dan menunjukkan pengabaian yang mengejutkan dalam tempoh masa yang berpanjangan.
Bapanya, Alun Titford, seorang pekerja pemindahan berusia 45 tahun disabitkan pembunuhan dengan melakukan kecuaian, selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Crown Mold, di utara Wales.
Ibunya, Sarah Lloyd-Jones mengaku bersalah atas pertuduhan itu, tahun lalu.
Titford pada mulanya berhujah dia tidak bersalah atas kematian anaknya kerana bekerja berjam-jam dan percaya pasangannya menjaga remaja berkenaan.
Lelaki itu memberitahu mahkamah dia tidak melakukan apa-apa untuk menjaga anak perempuannya sambil berkata ‘saya malas’.
Dia berkata, dia menghentikan penjagaan fizikalnya selepas dia mencapai akil baligh.
Dia kemudiannya mengakui di mahkamah bertanggungjawab sama atas kematian anak perempuannya.
Pasangan itu akan dijatuhkan hukuman pada 1 Mac dengan hakim Richard Griffiths berkata, kesalahan mereka cukup berat untuk dikenakan hukuman penjara.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Berisiko Cedera Dan Lemas, Pemilik Tadika Swasta Didakwa Abai 2 Kanak-Kanak
Berisiko Cedera Dan Lemas, Pemilik Tadika Swasta Didakwa Abai 2 Kanak-Kanak | Muar: Pemilik taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendedahkan dua kanak-kanak lelaki yang berada dalam jagaannya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, bulan lalu.
Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, wanita yang juga guru di taska berkenaan dituduh mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di kepala dan muka.
Pertuduhan kedua pula, Khairuzilawati berdepan tuduhan mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu lemas apabila menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan kain mini telekung.
Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan pada jam 10.30 pagi dan 4 petang pada 7 Februari lalu di Tadika Qurnia Genius di Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh di Muar.
Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa dan keluarga mangsa.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kerana wanita berkenaan adalah ibu tunggal kepada lapan anak selain mengalami penyakit berkaitan otak.
Hakim Irwan Suainbon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain larangan tertuduh mendekati mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 12 Mei depan bagi tarikh sebutan semula kes untuk proses serahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais sebelum ini dilaporkan berkata, penahanan wanita itu dilakukan selepas dia menyerahkan diri di balai polis 1 April lalu.
Katanya, siasatan dilakukan susulan ibu kepada mangsa mempunyai rakaman video memaparkan anaknya didera oleh wanita berkenaan.
SUMBER : Harian Metro