Seorang lelaki ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan, menerusi rakaman yang tular di media sosial selepas berlaku kemalangan di Ipoh baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata suspek berumur 47 tahun itu berjaya ditangkap di Jalan Lahat, Ipoh.
Yahaya berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa yang terlibat dalam pergaduhan tersebut, serta satu laporan kemalangan jalan raya daripada pemandu yang terlibat dengan kereta suspek.
“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 7 November, kira-kira 6.07 petang di Jalan Raja Musa Aziz.
“Kejadian berlaku di mana kereta Honda City telah melanggar kereta Toyota Camry yang dipandu oleh seorang wanita berumur 52 tahun.
“Punca kejadian dipercayai adalah akibat daripada pemandu kereta Honda City telah memandu di laluan yang bertentangan trafik,” kata Yahaya.
Walau bagaimanapun, wanita yang membawa Toyota Camry itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Yahaya, pada masa yang sama terdapat orang awam prihatin yang menyaksikan kemalangan jalan raya tersebut telah tampil untuk memberi bantuan kepada mangsa.
Namun, suspek tidak berpuas hati terhadap teguran daripada orang awam kerana dikatakan menyebabkan kemalangan jalan raya tersebut.
ISU TULAR: KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH IPOH
Isu Tular Di Media Sosial Mengenai Satu Kes Buli Jalan Raya Di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh, Perak.
Sumber: Polis Daerah Ipohhttps://t.co/8XOw17yKO7 pic.twitter.com/67E6MSHIZZ
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) November 8, 2022
Suspek bertindak menyerang salah seorang daripada orang awam yang hadir di tempat kejadian kerana memberikan teguran kepadanya.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret pada 9 November (semalam) untuk permohonan tahanan reman.
“Kedua-dua laporan polis mengenai kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah Yahaya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan berhemah semasa memandu di atas jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas.
Rata-rata netizen yang melihat sikap suspek itu mengatakan dia mungkin mabuk kerana bersikap memukul orang tanpa sebab.
“Mabuk ler tu, minum sikit mabuk je lebih,” @Muhd Aidil.
“Hukuman memandu semasa mabuk xcukup berat agaknya,” @Mohd Hafiz.
“Sebab tu di Australia, New Zealand dan Eropah, kerajaan mereka kenakan hukuman berat ke atas pemandu mabuk. Mereka ni mengancam keselamatan pengguna lain,” @Marzuki Yusoff.
Sumber: Siakap Keli