Ahli Parlimen Bertumbuk Dalam Dewan Parlimen. | AMMAN, JORDAN – Satu insiden kecoh tercetus di Parlimen Jordan kelmarin apabila sidang ahli parlimen saling bertumbuk selepas perbincangan mengenai pindaan perlembagaan yang akan memberikan hak yang lebih besar kepada wanita menjadi ‘panas’, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Menerusi video yang dirakam daripada insiden itu, segelintir ahli parlimen terlibat dalam pertengkaran fizikal apabila mereka bergaduh dan melemparkan kata-kata ugutan serta penghinaan antara satu sama lain.

Speaker Parlimen bahkan terpaksa meninggikan suaranya untuk menguruskan situasi tersebut.

Menurut sumber yang menyaksikan insiden itu, pergaduhan tercetus antara ahli parlimen konservatif, Hassan Riati dan Shadi Udwan selepas mereka saling menghina antara satu sama lain selain membuat kenyataan menghina agama.

Beberapa ahli parlimen lain kemudiannya terkandas apabila berlakunya insiden tolak-menolak.

Pergaduhan itu berlaku ketika kesemua ahli perlimen sedang bersedia untuk membahaskan perubahan dalam perlembagaan untuk menangani isu feminisme dan lelaki.

Wanita Jordan ketika ini menikmati hak yang sama rata berkaitan penjagaan kesihatan, pendidikan, penyertaan politik dan pekerjaan, namun tidak diberikan hak yang sama berkaitan dengan kewarganegaraan seperti lelaki.

Misalnya, wanita tidak boleh mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak atau pasangan, namun lelaki di Jordan boleh berbuat demikian.

Pindaan yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada siri perubahan yang disokong oleh Raja Abdullah II, bertujuan memodenkan Jordan.

Ia bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada ahli parlimen konservatif yang memandang rendah terhadap perubahan itu.

Salah seorang ahli parlimen negara itu, Mohammad Al Fayez berkata, perubahan yang dicadangkan itu berlawanan dengan moral dan keibuan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply