Akhirnya 2 Lelaki Diburu Polis Kes Samun Berjaya Ditahan. | KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang diburu polis sebelum ini selepas disyaki terbabit kes samun rantai emas di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak kelmarin, berjaya ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Cawangan Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menangkap dua suspek berusia 31 dan 40 tahun itu di lobi sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini jam 2 pagi tadi.

“Kami merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun berkenaan.

“Siasatan awal mendapati barangan kemas disamun kemudian dijual ke pihak ketiga dan kami sedang mengesan pihak lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Rajab berkata, semakan polis mendapati seorang daripada suspek mempunyai 21 rekod jenayah dan dadah, manakala seorang lagi lima rekod jenayah selain dikehendaki bagi kes dadah.

“Suspek turut mengaku terbabit dalam beberapa kes samun dan curi kenderaan di Setapak dan Sentul sebelum ini.

“Kenderaan Perodua Myvi yang digunakan suspek dalam kegiatan samun itu dipercayai kenderaan curi.

“Mereka akan direman pagi ini untuk siasatan lanjut. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Rajab turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam di atas maklumat dan kerjasama berhubung kes samun berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah kerana tindakan tegas berdasarkan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang ingkar.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Saleh di talian 017-7134705 atau pegawai penyiasat, Inspektor Aisyah Mohd Nor, 013-9338214,” katanya

Semalam, polis dilaporkan memburu dua suspek yang menyamun dua utas rantai emas yang dipakai seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.47 malam itu, mangsa sedang membuat pembayaran di kaunter farmasi terbabit sebelum seorang lelaki datang dari arah belakang menarik rantai emas dipakai wanita itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tular di media sosial.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply