Allahu…Hilang 3 Anak Serentak. Ini Luahan Bapa.| TUMPAT: Hilang tiga anak serentak apatah lagi dalam kejadian cukup menyayat hati benar-benar sukar untuk ditanggung.
Tidak hairanlah Mohd Nadzir Mohamad, 67, gagal menahan sebak mengenangkan nasib menimpa tiga anak perempuannya yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, di sini.
Meskipun mengakui reda dengan pemergian tiga anaknya iaitu Nurul Syazwani, 33; Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27; air mata yang tidak pernah kering di pipi Mohd Nadzir menggambarkan betapa besar kehilangan dirasai bapa kepada lapan anak itu.
Malah, Mohd Nadzir sambil menangis di sisi jenazah, berkali-kali dilihat mengucup tiga anak perempuannya itu sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismail di Morak jam 11 malam tadi.
“Luluh hati saya melihat tiga anak bergelimpangan dalam air, sedangkan dalam hati berkobar-kobar untuk menerpa ke arah mereka.
“Sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga. Naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini, namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi tadi, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.
Tindakan itu menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan mereka meninggal dunia serta-merta.
Terdahulu, jenazah tiga beradik itu tiba perkarangan Masjid Al Ismaili selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tumpat.
Kira-kira 200 hadir mengiringi jenazah sebaik tiba dengan menaiki tiga van, sebelum disolatkan di masjid sama.
Mohd Nadzir ketika ditanya mengakui tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan mereka lebih mesra terhadapnya terutama Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, kebelakangan ini.
“Sebelum ini ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti, tetapi kebelakangan ini mereka melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.
“Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya.
Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak jam 11.45 malam sebentar tadi.
Mohd Nadzir dalam pada itu mengakui imej tiga anaknya yang terbaring dalam air masih terbayang di matanya dan dia tidak pasti sama ada mampu atau tidak untuk melupakan detik itu.
TERDAHULU DILAPORKAN Tiga beradik perempuan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di sini, pagi tadi.
Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.
Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah jiran, sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah.
Ahli keluarga mangsa, Mohd Amin Mohd Nazir, 25, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.
Jiran keluarga terbabit, Che Zahiyah Che Yaakob, 53, dia melihat tiga beradik itu berjalan melintasi rumahnya dan sempat bertanya ke mana mereka ingin pergi sebelum dijawab Nor Syazwani yang mereka ingin melihat air di dalam tali air di hadapan rumah.
“Nor Syazwani berpegang pada tiang rumah saya dan tiba-tiba dia terus terjatuh sebelum badannya menjadi kejang dan tersentak sebelum Fatiah yang berada di belakang cuba membantu namun turut mengalami keadaan yang sama.
“Sakinah yang berjalan di hadapan mereka berpatah untuk membantu dan turut terjatuh serta kejang seperti dua beradik itu.
“Saya terus menjerit memanggil ahli keluarga lain dan suami segera mengambil kain sebelum cuba menyentuh salah seorang dari mereka dan turut terasa aliran elektrik menyebabkan dia berundur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Che Zahiyah berkata, penduduk kampung segera menghubungi bomba dan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, berkata ketiga-tiga anak perempuannya itu masih belum berumahtangga dan sangat rapat.
Katanya lagi, pagi tadi, Nor Syazwani dan Nurul Fatiah yang mana kedua-duanya adalah guru tadika agama di dua premis berasingan sempat memasak nasi goreng dan membuat cucur untuk sarapan sebelum melakukan kerja rumah lain.
“Sakinah pula kurang sihat serta berasa sakit dada dan dia ada berkata mungkin dia nak mati disebabkan sakit itu namun saya memarahinya sambil memberitahu ia sakit biasa sahaja.
“Ketika sedang berehat di ruang tamu, saya terdengar bunyi bising seperti orang menjerit di rumah jiran bersebelahan dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya ternampak tiga anak perempuan terbaring di dalam air sebelum diberitahu mereka sudah meninggal dunia kerana renjatan elektrik.
“Saya reda Allah ambil anak saya serentak sebab masa hidup pun mereka memang rapat. Allah nak mereka pergi pun bertiga. Sedih memang sedih, tapi itu kerja Allah, saya reda,” katanya sambil menahan sebak.
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses itu selesai.
Sumber : BH