Ambil Kesempatan! Warga Asing Dampingi Pengemis Buta Untuk Kaut Untung | Kerja senang dengan hanya menjadi ‘tukang pimpin’ atau ‘tukang tarik’ untuk mengurus pergerakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan ketika mengemis di sekitar ibu kota, warga asing mampu memperoleh untung lumayan sehingga lebih RM2,000 sebulan.
Seorang tukang pimpin dikenali Maria, 38, yang berasal dari Madura di Jawa Tengah, Indonesia mengakui adakalanya menerima lebih RM100 sehari, bergantung hasil kutipan pengemis yang bekerja.
Jelasnya, waktu kerja tak tentu dan biasanya dia akan bergerak bersama-sama rakan lain untuk membawa orang buta menjual tisu.
Katanya, hasil pendapatannya boleh kirim RM300 kepada keluarga di kampung dan bayar sewa rumah RM450 sebulan.
Difahamkan, aktiviti mengemis khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor tidak membabitkan kegiatan sindiket, sebaliknya dilakukan secara ‘sukarela’ oleh pengemis untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah.
Walaupun cuba berdolak-dalik ketika disoal siasat, Maria mengaku masuk ke negara ini menggunakan permit pembantu rumah pada 2018, sebelum menjadi tukang pimpin kepada OKU penglihatan yang dikenali Mustaqim sejak 2019.
Lebih mengejutkan, wanita yang berperwatakan lembut dan sentiasa bersolek itu juga mengaku menggunakan ilmu hitam dan pengasih untuk mengahwini Mustaqim yang sehingga kini menjadi sumber pendapatan utama beliau walaupun mereka sudah bercerai.
Maria kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Menurut sumber polis, Maria akan bertemu Mustaqim atau rakan sekutunya di sebuah restoran di Brickfields untuk mengatur gerak kerja mereka.
Katanya lagi, berdasarkan risikan, pengemis ini akan bertugas mengikut syif bermula 9 pagi, ada waktu rehat dan akan berakhir sebelum tengah malam selain menambah setiap syif dipercayai membabitkan tujuh OKU penglihatan dan tujuh pengiring.
Selepas selesai tugasan mengemis, kumpulan ini akan kembali ke restoran berkenaan untuk pembahagian sama rata hasil kutipan antara pengemis dengan tukang pimpin.
Maria turut bekerjasama dengan pemandu teksi yang dipercayai warga tempatan untuk membawa pengemis dan ‘tukang pimpin’ ke lokasi mengemis di sekitar ibu kota.
Menurut polis, aktiviti mengemis menggunakan OKU penglihatan ini turut melangkaui sempadan negeri, termasuk hingga Seremban di Negeri Sembilan, semata-mata untuk mendapat hasil yang lumayan.
Jelasnya, dipercayai kumpulan ini bukan membabitkan sindiket, tiada elemen paksaan kerana kita percaya OKU ini sukarela bekerja sebagai pengemis.
Sementara itu, Mustaqim, 56, yang turut ditahan dalam operasi itu mengaku melakukan kerja mengemis secara sukarela kerana pendapatan lebih lumayan mencecah RM2,000 sebulan.
Bapa kepada empat anak yang tinggal di Damansara ini berkata, setiap pagi dia akan ke Brickfields menemui Maria dan menganggap kerja menjual tisu sebagai punca rezeki utama untuk menampung kehidupan.
Operasi bersepadu empat hari bermula 9 Februari itu bertujuan membersihkan Kuala Lumpur daripada aktiviti pengemis yang memberi imej kurang baik kepada negara, selain menjadi kebimbangan masyarakat.
Sumber: Berita Harian