Ambil Masa 17 Jam Siapkan Jambatan Compact Bailey 100 | Tindakan segera dan proaktif Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu penduduk Kampung Sungai Putat dengan membina Jambatan Compact Bailey 100 telah memberikan kelegaan dan keselesaan kepada penduduk di kampung itu dan juga kampung berhampiran.
Jerantut: Kepakaran 60 anggota termasuk dua pegawai pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dari Skuadron Ke-9 RAJD, Kem Terendak, Melaka dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize), Kem Batu 3, Mentakab telah berjaya menyiapkan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, dekat sini.
Jambatan sepanjang 24 meter dengan lebar lima meter itu hanya mengambil masa 17 jam untuk disiapkan.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 ini adalah antara salah satu usaha ATM dalam membantu bagi memulihkan laluan perhubungan penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap yang baru-baru ini terjejas akibat kerosakan teruk jambatan asal Sungai Beletir ekoran musim tengkujuh yang melanda pada awal tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata keadaan itu menyukarkan kira kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Putat dan kawasan sekitar ke bandar Jerantut dan ke sekolah terletak di Felda Padang Piol di sini.
“Pembinaan jambatan akan membantu menghubungkan semula jalan utama dengan penduduk kampung-kampung terbabit bagi menghantar anak-anak ke sekolah di Felda Padang Piol dan juga hasil sawit serta getah ke tempat pengumpulan di bandar Jerantut,”katanya.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas perasmian laluan Jambatan Compact Bailey 100 Kampung Sungai Putat di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, kerja pemasangan jambatan boleh bertahan sehingga 20 tahun itu turut mendapat bantuan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta koordinasi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negeri (Nadma).
“ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu pihak berkuasa awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada Military Operation Other Than War (MOOTW),” katanya.
Jelasnya, jambatan itu adalah jambatan bailey ketiga dibina ATM di Pahang yang rosak akibat banjir selepas di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran selain di Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak.
Sumber: Harian Metro