‘Ambillah Kedai Runcit Sebagai Ganti Saya Tak Mampu Bayar Kompaun’ | Baru-baru ini heboh di media sosial mengenai peniaga-peniaga yang dikenakan kompaun kerana kesalahan beroperasi lebih masa. Hal itu yang terjadi kepada  seorang peniaga kedai runcit apabila dia dikenakan kompaun namun tidak mampu membayarnya.

'Ambillah Kedai Runcit Sebagai Ganti Saya Tak Mampu Bayar Kompaun'

Kota Bharu: “Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000.”

Luahan hiba dari seorang peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47, merupakan antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka di sini berkata, sememangnya dia tiada kemampuan untuk membayar kompaun berkenaan kerana bayaran rumahnya juga sudah tertunggak selama tujuh bulan selain sebuah kereta miliknya ditarik oleh pihak bank sejak PKP.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada jam 11.40 malam itu, dia kemudiannya didatangi empat anggota polis. Kemudian, bapa kepada tiga anak yang berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata, premis kedai runcit milinya sudah ditutup, namun pada ketika itu hanya pintu kecil sahaja yang tidak berkunci kerana ketika itu ada saudaranya yang datang berkunjung.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, dia telah menjelaskan kepada pihak polis dengan menunjukkan pintu grill yang sudah ditutup namun, tetap disaman dengan jumlah RM50,000.

Mansah yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang mengakui bahawa dia sangat terkejut melihat jumlah yang dikompaun itu kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada hasil jualan kedai runcit itu sahaja.

Dikatakan selepas kejadian yang menimpanya itu, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dalam masa yang sama, dia juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut dan mungkin pada hari ini dia akan membuat rayuan berkaitan masalah itu.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya yang tinggal di Taman Tanjung Mas, di sini.

Dia juga turut berharap ada pihak yang tampil memberikan bantuan selain membantu dua peniaga lain yang dikenakan kompaun yang sama.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, Ahad lalu.

Beliau dilapor berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

“Peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dipetik.

Sumber: Harian Metro 

 

 

Share.

Leave A Reply