Angka Kematian Covid-19 Meningkat, Terpaksa Guna Jentolak Untuk Urus Jenazah | Angka kematian yang sangat membimbangkan di negara kita akibat Covid-19 telah memaksa pihak pengurusan pengembumian jenazah dilaporkan perlu menggunakan jentera pengorek kaut bagi memudahkan proses menggali lubang kubur di beberapa kawasan tanah perkuburan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Angka Kematian Covid-19 Meningkat, Terpaksa Guna Jentolak Untuk Urus Jenazah

Menurut Datuk Mohd Ajib Ismail yang merupakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), penggunaan jentolak adalah disebabkan jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah (TPIRS) Lebuhraya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara yang kadang kala mencapai lebih 30 jenazah sehari.

Jelasnya, tindakan proaktif dengan menggunakan penggorek kaut adalah bertujuan untuk menggali lubang sebelum para penggali yang mahir akan membuat liang lahad untuk proses pengebumian jenazah.

Pasukan Pengurusan Jenazah dilaporkan telah menguruskan kira-kira sebanyak 2,352 jenazah COVID-19 sejak MacĀ  tahun lalu iaitu merangkumi 1,320 jenazah lelaki dan 1,032 jenazah wanita melibatkan majoriti berumur 41 hingga 60 tahun iaitu sebanyak 959 jenazah, diikuti 938 jenazah berusia 61 hingga 80 tahun.

Mohd Ajib menjelaskan bahawa seramai 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas COVID-19 yang menguruskan jenazah di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, merangkumi 74 petugas JAWI, 21 petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta 18 daripada Kor Agama Angkatan Tentera.

Tambahnya lagi, pasukan berkenaan yang melibatkan petugas sukarelawan iaitu 37 penggali kubur dan 54 pemandu jenazah telah menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan lain-lain.

Mohd Ajis berkata bahawa beliau bersyukur kerana semua ujian dan cabaran dihadapi pasukan berkenaan khususnya di hospital dan tanah perkuburan dapat dihadapi menerusi kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan selain pasukan berkenaan turut dibekalkan bantuan makanan setiap hari serta mengambil kira keperluan mereka yang berkaitan.

Pasukan tersebut dilaporkan pernah menguruskan jenazah kira-kira sehari sebanyak 93 jenazah iaitu jumlah tertinggi yang pernah diuruskan diikuti 74 jenazah baru-baru ini.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply