Anwar Ibrahim Masih Berpeluang Jadi PM. Ini SEBABNYA. | SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berpeluang menjadi Perdana Menteri.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berpandangan, dari segi jumlah sokongan yang diterima oleh ahli Parlimen Port Dickson itu adalah munasabah.
“Semalam, kita semua sudah hantar surat akuan bersumpah (SD), proses itu diteruskan dan saya rasa kita tunggu apa pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Dari segi sokongan itu, saya fikir munasabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah Anwar masih berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Seramai 114 ahli Parlimen dilaporkan akan dipanggil ke Istana Negara dikatakan mempunyai kaitan dengan majoriti yang telah memihak kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ahli Parlimen terlibat adalah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Bersatu, UMNO, MCA, MIC, Pas dan beberapa parti lain serta ahli Parlimen Bebas.
Shamsul Iskandar yang merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menambah, ahli Parlimen pembangkang masih belum menerima apa-apa jemputan daripada Istana Negara.
Sumber : SH