Atlet Bola Tampar Remaja Maut ‘Dipenggal’ Taliban?| Atlet perempuan bola tampar Afganistan, Mahjabin Hakimi maut didakwa akibat dipenggal oleh pejuang Taliban, baru-baru ini menurut laporan New York Post.
Berita ngeri tersebut tersebar luas selepas tular imej mengerikan leher atlet itu yang terputus tular di media sosial Afghanistan.
Dalam satu wawancara bersama Persian Independent menerusi laporan New York Post, seorang daripada jurulatihnya mendedahkan keluarga mangsa terpaksa merahsiakan kematian remaja itu yang dibunuh awal Oktober lalu akibat diugut Taliban.
Jurulatih yang hanya mahu dikenali sebagai Suraya Afzali berkata, atlet lain juga menerima tamparan berikutan kejadian tersebut dan menyifatkan bahawa seluruh atlet wanita kini berada dalam situasi teruk, putus asa dan ketakutan.
Sambungnya, ia kerana hanya hanya dua daripada rakan pasukan Mahjabin termasuk dalam puluhan atlet wanita yang berjaya melarikan diri dari Afghanistan sejak Taliban menguasai kembali negara itu pada Ogos lalu.
Para atlet wanita kini dikatakan terpaksa melarikan diri dan tinggal di tempat yang tidak diketahui.
Namun, dikhabarkan bahawa terdapat laporan lain yang menyebut berkenaan insiden itu selepas dikatakan ia berlaku lebih awal dengan bukti kematian yang menunjukkan remaja itu dibunuh pada 13 Ogos pada hari terakhir, sebelum Taliban berjaya menguasai Kabul.
Bagaimanapun, Pusat Kewartawanan Penyiasatan Payk berkata, sumbernya mengesahkan, Mahjabin dipercayai ‘dipenggal’ Taliban di Kabul.
Menerusi laporan New York Post, sehingga kini kerajaan masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung kes ini.
Sementara itu, Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) turut memberitahu Inside The Games, pihaknya mengambil maklum laporan pembunuhan atlet terbabit dan sedang mendapatkan pengesahan segera isu terbabit.
Bagi mereka pada masa kini, keselamatan dan kesejahteraan seluruh komuniti bola tampar yang menjadi kebimbangan utama mereka.
Mahjabin Hakimi sebelumnya merupakan antara pemain terbaik dalam Kelab Bola Tampar Perbandaran Kabul.
Sumber: New York Post