Ayam Tak Cecah RM12 Sekilo, Peniaga ‘Sangsi’ Jaminan Kerajaan | PETALING JAYA: Peniaga di Lembah Klang tidak dapat meramalkan kadar kenaikan harga ayam susulan pemansuhan harga siling bermula 1 Julai ini, walaupun kerajaan menjangkakan harga bahan makanan itu tidak mungkin mencecah RM12 sekilogram.

Peniaga ayam di sebuah pasar di Ampang, Aris Ariffin berkata, langkah kerajaan memansuhkan harga siling akan mewujudkan “keadaan menang-menang” buat peniaga dan pembeli.

“Jika tiada harga kawalan, kami boleh menjual ayam dengan murah, jika harga ayam dari pemborong turut rendah. Sebelum ini, kami menentukan harga jualan ayam berdasarkan penetapan harga siling ayam oleh kerajaan, jadi kami pun tak untung banyak sungguhpun telah menaikkan harga itu,” katanya kepada FMT.

Pun begitu, beliau tidak tahu berapa kadar kenaikan harga ayam itu mulai bulan depan.

“Selaku peniaga, apa yang kami boleh buat sekadar ikut sahaja. Biasanya pemborong yang akan tahu kenaikan harga itu dan mereka akan maklumkan kepada kami sehari sebelum pelaksanaan harga tersebut,” katanya.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia memberi jaminan harga ayam tidak akan mencecah RM12 sekilogram.

“Harga kelak mungkin lebih sedikit daripada RM10, tetapi saya tidak dapat mengesahkan berapa harga sebenarnya,” katanya pada Selasa lalu.

Seorang lagi peniaga ayam di Petaling Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Khairi juga tidak pasti kadar kenaikan harga ayam mulai bulan depan, tetapi katanya, mereka tidak mungkin menaikkan harga sesuka hati.

“Pembeli semakin bijak dalam mencari peniaga ayam yang menawarkan harga lebih baik,” katanya sambil menambah pemansuhan harga siling ayam akan menjejaskan ramai orang dalam masa terdekat, tetapi ia akan mewujudkan saingan lebih kompetitif dalam jangka panjang.

Pengguna daripada golongan M40, Rosma Nora Abdul Satar, gelisah dengan kenaikan harga ayam mulai bulan depan.

“Kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa begini, ayam mahupun telur sememangnya makanan ruji, nak tak nak kena beli juga. Kami tak nak ada peniaga yang mengambil kesempatan, khususnya bila keadaan ekonomi kian pulih.”

Ridzuan Ismail juga tidak bersetuju dengan pemansuhan harga siling ayam kerana bimbang harga ayam akan mengalami kenaikan mendadak.

“Memang tak betullah langkah pemansuhan ini, kerajaan sepatutnya kawal isu kenaikan harga, bukan mansuhkan harga kawalan yang akan membawa kesan kepada rakyat.”

SUMBER : FMT

Share.

Leave A Reply