“Bakal Berdepan Krisis Sosial Jika Benarkan Pengeluaran KWSP”- Ujar Pakar | Malaysia mungkin berdepan dengan krisis sosial pada masa hadapan sekiranya kerajaan tunduk dengan desakan berkaitan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kebimbangan itu jelas kerana setakat Oktober 2021 sahaja, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar sejak 2020.
Pengeluaran ini menyebabkan 6.1 juta ahlinya kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun dan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.
Penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, majoriti pencarum mempunyai simpanan yang terlalu kecil, sehingga mendedahkan kepada krisis sosial jika simpanan dikeluarkan.
Mengikut standard biasa Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kita memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan selepas bersara atau RM24,000 setahun. Jangka hayat rakyat Malaysia pula adalah kira-kira 65 tahun.
Maknanya, kita ada 10 tahun lagi untuk ditempuhi selepas bersara dan memerlukan sekurang-kurangnya RM240,000. Jika tiada simpanan, terpaksa bergantung kepada anak-anak sedangkan mereka sudah mempunyai keluarga dan tanggungan sendiri,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Daripada segi perundangan katanya, secara jelas menunjukkan duit KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas bersara.
KWSP katanya, tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran yang dibenarkan.
Jelasnya, mereka faham akan kesulitan dan kepayahan tetapi kadang-kadang mereka (kerajaan) terpaksa melakukan keputusan demi kebaikan mereka. Keputusan ini tepat demi kelestarian dan kebaikan masa depan negara dan rakyat.
Sumber: Sinar Harian