Ibu kepada pelakon Thailand Nida “Tangmo” Patcharaveerapong pada Jumaat berkata dia memaafkan dua rakan lelaki yang ada bersama anak perempuannya di atas bot laju pada malam kejadian.
Ketika ditemu bual dalam satu program TV, Panida Siriyuthayothin berkata dia memaafkan pemilik bot laju Tanupat “Por” Lerttaweewit dan pemandu bot Phaiboon “Robert” Trikanjananun.
Dia bagaimanapun tidak memaafkan rakan Tangmo yang lain, lapor Bangkok Post.
Tangmo ditemukan mati lemas pada Sabtu, namun pelbagai persoalan timbul berhubung kematiannya termasuk kemungkinan ia disengajakan.
Panida berkata Por menelefonnya keesokan hari dan meminta maaf selain mahu bertemunya secara peribadi.
Jelasnya, Por berjanji untuk menjaga saya seperti yang dilakukan (Tang)Mo.
Tambahnya,dia telah memaafkannya kerana dia (Por) berterusan cuba menghubunginya dan menyedari yang dirinya sedang marah.
Dia dalam pada itu berkata akan menerima pampasan daripada Por yang berjanji memberikannya sejumlah besar wang.
Jelasnya lagi, andai kata Mo memperoleh 1 juta baht daripada siri TV. Jika dia hidup selama 30 tahun lagi, dia boleh darabkan jumlah itu dengan 30.
Ini masih tidak termasuk kehilangan pendapatan daripada sesi bergambar sebagai model, tambah Panida dalam satu kenyataan.
Difahamkan Panida ditawarkan sejumlah 30 juta baht (sekitar RM3.8 juta) sebagai pampasan.
Panida bagaimanapun menafikan tindakan memaafkan dua rakan yang juga suspek kes kematian anaknya itu disebabkan wang pampasan yang bakal diterimanya.
Tindakan ibu Tangmo itu nyata mengejutkan ramai pihak. Ada yang berpandangan Panida tersepit dengan masalah kewangan yang menyebabkan dia menerima dorongan itu.
Malah tidak kurang juga yang membuat spekulasi kemungkinan Panida turut terbabit dalam nahas melibatkan anak perempuannya itu.
Panida berkata dia tidak memaafkan pengurus Tangmo, Idsarin “Gatick” Juthasuksawat kerana Gatick hanya menghubunginya selepas tiga hari kematian anaknya.
Dia turut menuduh Gatick menyebabkan kematian anak perempuannya itu.
Tangmo, 37, terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang, Nonthaburi sekitar jam 10.40 malam pada 24 Feb.
Mayatnya ditemui kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu.
Sumber: Astro Awani