Banjir: Cemas! Wanita Sakit Hendak Bersalin Berjaya Diselamatkan | Seorang wanita sakit hendak bersalin dikatakan antara mangsa banjir yang berjaya dipindahkan dalam operasi menyelamat di Taman Seri Muda yang giat dijalankan di sini sejak Ahad malam.
Berkongsi perkara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Peduli Ummah (Si Peduli) memaklumkan wanita terbabit berdepan detik mencemaskan sebelum berjaya dibawa ke tempat lebih selamat.
Ahli ‘Si Peduli’ yang menggunakan nama Tan Sri Hasbullah Halil berkata, wanita dalam kesakitan itu berjaya dibawa keluar dari kawasan banjir dengan menaiki bot.
Menurutnya, bayangkan, saat-saat kecemasan begini, dalam keadaan banjir besar melanda ibu ini dalam kesakitan hendak bersalin dibawa keluar dengan susah payah menaiki bot.
Selepas melalui detik-detik cemas dia berjaya dibawa ke Hospital (Shah Alam) dengan selamat hasil kerjasama bersama orang ramai dan NGO termasuk team ‘Si Peduli.’
Melalui satu catatan di laman Facebooknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan anggota-anggota beruniform yang banyak membantu.
Sehingga pagi Isnin, kerja-kerja menyelamat mangsa terkandas di kawasan Taman Seri Muda diteruskan pihak berkuasa terbabit dengan bantuan sukarelawan dan pelbagai NGO.
Difahamkan, bagi membantu agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan ini turut tampil membawa kelengkapan menyelamat termasuk bot persendirian untuk membantu mangsa terkandas.
Sumber: Sinar Harian