Banjir: Emak Meninggal Dunia Ketika Terperangkap Tunggu Bantuan | Seorang wanita memaklumkan bahawa ibunya telah meninggal dan mayatnya telah disahkan dan dibawa ke hospital bagi urusan pengebumiannya selepas dia terperangkap di rumah ibunya di Seksyen 19 dekat sini akibat banjir kilat.
Khadijah Mohd Said, 49, berkata, ibunya yang dikenali sebagai Esah Hussin, 71, meninggal dunia jam 7.55 pagi tadi selepas dibawa naik ke tingkat atas rumah teres dua tingkat.
Turut terperangkap ialah tujuh individu iaitu suami Khadijah yang berusia 57 tahun, anak dan anak saudara yang berusia antara 8 hingga 24 tahun.
Menurutnya, emak memang tidak boleh berjalan dan semalam mereka telah cuba memapahnya naik ke tingkat atas kerana air sudah memasuki rumah bagaimanapun tidak berjaya kerana mangsa dikatakan tidak larat.
Namun Khadijah memberitahu bahawa pagi ini emaknya sendiri hendak naik dan mereka berjaya memapah ke atas, bagaimanapun dia tiba-tiba mengalami sesak nafas dan terkena serangan angin ahmar.
Khadijah yang berada di samping mangsa telah mengajarnya mengucap (syahadah) dan membawanya ke katil untuk memeriksa nadi. Namun apabila mereka cuba periksa tekanan darah, bacaan dikatakan menjadi ‘error’ manakala bacaan oksigen adalah kosong.
Dia berkata, ibunya menghidapi penyakit buah pinggang serta jantung dan tidak boleh berjalan.
Katanya, pihaknya kini menunggu pasukan perubatan hadir dan mengesahkan kematian.
Khadijah mendakwa, dia dimaklumkan bahawa paramedik sudah sampai tetapi mereka tak boleh masuk kerana air terlalu tinggi dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pikap.
Jelasnya, difahamkan jarak lokasi paramedik ke rumah ini dalam satu kilometer saja, sekarang kami masih menunggu untuk menguruskan jenazah emak serta membawa anak-anak keluar ke tempat yang selamat.
Sumber: Harian Metro