Bayi Lelaki Dihempap Pokok Ru Ketika Berkelah Meninggal Dunia. | MELAKA – Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka di sini, pada Ahad.

Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.

Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan itu.

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengakibatkan seorang bayi lelaki dan ibunya dihempap pokok yang tumbang.

Berita Semalam….

Kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, pada petang Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengakibatkan seorang bayi lelaki dan ibunya cedera dihempap pokok yang tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, sebelum kejadian suami isteri berusia 30-an itu sedang berkelah bersama tiga orang anak mereka di pantai berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas hujan, apabila tiba-tiba sebatang pokok ru tumbang lalu dahan pada bahagian tengah pokok menghempap dua beranak terbabit.

“Ibu mangsa yang sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan tidak sempat mengelak dan dihempap pokok berusia lebih 20 tahun itu.

“Manakala suaminya sedang menemani dua lagi anak mereka mandi manda di pantai,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Ujar beliau, wanita itu mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, manakala bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tuminah berkata, beliau terkilan kerana kejadian seumpama itu sudah beberapa kali berlaku memandangkan pokok yang terdapat di pesisiran pantai itu telah berusia lebih 20 tahun.

“Selepas insiden itu kawasan tersebut akan ditutup daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan buat sementara waktu bagi mengelak kejadian berulang,” katanya lagi.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

3 Beradik Maut Dalam Kemalangan

MARAN – Pelajar tahfiz, Nurul Syafiqah Yusri sepatutnya pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor, pada Sabtu bersama abang, kakak dan dua adiknya, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam perjalanan menjemputnya di pusat tahfiz tempat dia belajar.

Nurul Syafiqah, 18, berkata, dia berasa pelik apabila bapa saudaranya yang ‘muncul’ di pusat tahfiznya di Jerantut dekat sini, kerana sepatutnya adik-beradiknya yang akan datang mengambil, sebelum diberitahu mengenai berita buruk itu oleh bapa saudaranya.

“Saya menghubungi keluarga Sabtu lepas untuk meminta dijemput hari ini. Sejak pagi saya sudah bersiap menanti kehadiran kakak dan abang, tetapi tiba-tiba pak cik yang sampai pada 10 pagi dan beritahu mereka sudah tiada,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di pekarangan Unit Forensik di Hospital Jengka di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi, abang Nurul Syafiqah, Ahmad Basyir, 27, kakaknya, Siti Fatimah, 20, dan adiknya, Saiedah, 15, maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di sini pada Sabtu.

Kemalangan itu turut menyebabkan adik bongsu mereka, Adawiyah, 11, cedera parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Nurul Syafiqah berkata, jenazah Ahmad Basyir, Siti Fatimah dan Saiedah yang masing-masing anak kedua, lima dan tujuh daripada lapan beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11 di sini, sebaik urusan bedah siasat selesai, kerana mereka pernah menetap di tanah rancangan itu sebelum berpindah ke Kulai.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhatair Muhammad, 40, menyifatkan semua anak saudarnya itu sebagai anak yang baik dan sangat rapat antara satu sama lain, dan kali terakhir mereka bertemu tiga hari lepas.

“Saya ke rumah mereka di Kulai dan sempat membawa Saiedah serta Adawiyah berjalan-jalan…semasa itu, mereka ada memberitahu tak sabar nak ke Jerantut bagi mengambil Nurul Syafiqah,” katanya. – Bernama

Share.

Leave A Reply