Belasah Isteri Sebab Tegur Bawa Anak Bawah Umur Keluar Minum Minuman Keras. | Kepala Batas: Seorang wanita dibelasah suaminya yang tidak dapat menerima teguran apabila membawa anak perempuan mereka berusia enam tahun keluar minum minuman keras dalam kejadian di Taman Mesra, Bagan Lalang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 8 malam itu, wanita berusia 38 tahun itu menegur suaminya berusia 40 tahun kerana sering membawa anak perempuan mereka yang di bawah umur keluar minum minuman keras hingga berlakunya perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu tidak dapat menerima teguran itu sebelum menumbuk badan dan kepala serta menolak mangsa hingga terjatuh ke lantai.

“Lelaki itu memijak perut dan menendang isterinya beberapa kali selain mencekik serta mengugut mahu membunuh isterinya.

“Dalam kejadian itu, anak perempuan mangsa berusia 13 tahun datang membantu ibunya, namun dia ditampar bapanya sebelum adiknya keluar pergi meminta tolong daripada jiran.

“Tidak lama kemudian, jiran datang meleraikan pergaduhan itu dan suspek keluar dari rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan siasatan mendapati dia sudah berkahwin dengan suaminya selama 13 tahun.

Menurutnya, mangsa memberitahu sejak kebelakangan ini suaminya sering memukulnya kerana perselisihan faham.

“Tiada senjata digunakan dalam insiden berkenaan dan suspek hanya menggunakan tangan serta kaki untuk memukul isterinya.

“Polis kemudian menahan suami mangsa semalam untuk siasatan dan ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana memukul menggunakan tangan, kaki dan mengugut mangsa,” katanya.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply