KEJAM. Isteri Rancang Bunuh Suami OKU Untuk Dapat Harta. | Seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan kecacatan buta untuk mendapatkan harta.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pembunuhan itu dirancang bersama adik lelaki wanita terbabit yang berusia 42 tahun.
Katanya, suspek wanita yang berusia 45 tahun itu pada awalnya membuat laporan polis mendakwa suaminya disamun semasa mangsa berada di rumah mereka di Jalan Jati, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang, pada 1 Oktober lalu.
“Hasil siasatan mendapati, suspek dikatakan mengupah adik lelakinya untuk datang ke rumah mereka untuk membunuh suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.
“Adik lelaki wanita itu bertindak memukul kepala mangsa menggunakan tukul besi selain melarikan rantai yang dipakai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, pembunuhan itu terbongkar selepas laporan polis dibuat suspek meragukan dan hasil soal siasat mendapati wanita itu merancang membunuh suaminya bersama adik lelakinya untuk mendapatkan harta.
“Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan telah meninggal dunia di sebuah hospital.
“Pasangan adik-beradik itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pada Khamis dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sumber : Astro Awani